ISKANDAR PUTERI: Laluan sepanjang 25 meter di Jalan Forest City-Lebuh Tanjung Pelepas (PTP) di sini dilaporkan mendap petang tadi.
Berikutan kejadian itu, laluan itu kini ditutup sementara kepada semua jenis laluan.
@buletintv3 Kejadian tanah mendap yang dilaporkan berlaku di Jalan Forest City – Lebuh Tanjung Pelepas, dipercayai sepanjang 25 meter. #BuletinTV3 #BeritaDiTiktok #ForestCity MendapanTanah #TanahMendap #Johor
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II, Hairulnizam Mohd Noh, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 2.09 petang.
“Tujuh anggota dengan sebuah jentera dihantar ke lokasi kejadian.
“Anggota membuat pemantauan bagi memastikan keadaan sekeliling selamat sebelum kawalan lalu lintas diserahkan kepada pihak polis.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, pihak pengurusan Forest City akan melakukan siasatan penuh berhubung kejadian tanah mendap terbabit.
“Kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang tadi dan sebaik dimaklumkan, Forest City menghantar pasukan teknikal ke lokasi kejadian selain turut memaklumkan pihak berkuasa.
“Projek baik pulih akan dilaksanakan secepat mungkin dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan melalui media sosial Forest City,” katanya.
Pengurusan Forest City, dalam satu kenyataan di laman Facebook berkata, kakitangan teknikal dan kakitangan projek Forest City sudah tiba di tempat kejadian untuk tindakan kecemasan.
Pihak Forest City juga akan bekerjasama dengan kerajaan untuk melaksanakan tindakan yang diperlukan bagi memastikan keselamatan pengguna.
“Forest City akan bekerjasama secara aktif dengan jabatan kerajaan untuk melaksanakan tindakan dan prosedur yang diperlukan seperti yang difikirkan sesuai untuk memastikan keselamatan pengguna,” katanya.