DUNGUN: Salah seorang bapa mangsa yang maut dalam kemalangan di hadapan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini menerima permohonan maaf suami kepada wanita yang dipercayai mengakibatkan kemalangan menyayat hati itu.
Jamaluddin Hussin, 53, berkata buat masa ini dia dan keluarganya masih bersedih dengan kehilangan anak bongsunya, Khairul Anwar, 20, dan belum bersedia untuk bertemu dengan suami wanita terbabit.
Selain Khairul Anwar, dua lagi rakan anaknya yang belajar di kampus sama iaitu Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20, dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, turut maut dalam kemalangan itu.
“Sebagai seorang Islam saya maafkan dia. Saya redha dan terima dengan dengan apa yang berlaku itu, saya maafkan dia, kalau tak maaf dendam tidak akan habis sampai bila-bila.
“Bagaimanapun saya tetap akan mengambil tindakan undang-undang untuk keadilan arwah anak saya kerana ia melibatkan nyawa,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, kehilangan anaknya itu mendatangkan kesan yang mendalam kepadanya yang kini kesemua anak lelakinya pergi meninggalkan dia.
“Saya kehilangan anak sulong, Muhammad Khairul Izzudin tujuh tahun lalu dan kali ini anak bongsu pula dan kehilangan mereka sangat menyedihkan saya.
“Ibu mereka, Norma Mohamed Nor, 52, sangat terasa dengan kehilangan ini. Dia (isteri) sangat rapat dengan anak dan sepanjang masa memegang baju arwah untuk melepaskan rindu,” katanya.
Jamaluddin berkata, mereka yang pernah merasai kehilangan orang tersayang sahaja akan faham betapa sedihnya berdepan dengan situasi sebegini.
“Kehilangan anak bongsu sangat perit, saya rasa lagi berat ujian ini namum saya tetap kuat dan redha dengan ketentuan ini,” katanya.
Media semalam melaporkan suami kepada wanita itu, Azhar Ahmad, 53, yang mewakili isterinya memohon maaf kepada kesemua keluarga mangsa yang maut dalam kemalangan itu.
Azhar berharap agar ahli keluarga mangsa dapat memaafkan dan akan bertemu dengan semua ahli keluarga terbabit sekiranya mereka bersedia dengan permohonan maaf terbabit.
Dalam kemalangan kira-kira jam 7.20 malam, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV dipandu seorang wanita merempuh dua buah motosikal yang ditunggang empat pelajar terbabit dari arah belakang.
Selain tiga pelajar itu yang maut, seorang lagi pelajar, Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 20, cedera di bahagian pinggang dan masih menerima rawatan di Hospital Dungun.
Berikutan kejadian itu, polis menahan pemandu SUV terbabit yang merupakan seorang wanita berusia 49 tahun dan direman untuk siasatan lanjut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.