comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] “Sebagai anak, kami dah lama letakkan ayah sebagai milik rakyat” – Iskandar Zulkarnain

FOTO: NSTP

PONTIAN: Anak sulung kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub memaklumkan bapanya pernah berkata jika beliau meninggal dunia, Ahli Parlimen Pulai itu berharap ketika sedang berkhidmat untuk rakyat.

Luahan itu diceritakan Iskandar Zulkarnain, 37, kepada media di sini hari ini.

Kata Iskandar sejak dari kecil, mereka enam beradik sudah dididik supaya faham akan kerja bapanya itu dan meletakkan bapanya sebagai milik rakyat.

FOTO: NSTP

“Ini impian dia, dia memang cakap kalau dia meninggal dunia, biarlah dalam keadaan dia sedang bekerja untuk rakyat,” katanya.

“Sebagai anak, kami dah lama letakkan ayah sebagai milik rakyat. Dia memang untuk rakyat. Kami dari kecil sudah dididik yang dia selalu tiada dengan kami dan selalu bersama rakyat.

“Terlalu banyak nasihat dia yang saya ingat antaranya dia pernah pesan jangan campur urusan kerjanya dan dia ajar kami untuk berdikari serta tidak bergantung padanya.

“Kami pun redha apabila dia sudah capai impiannya,” katanya ketika ditemui di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot di sini, hari ini.

“Kalau ada yang buruk-buruk, andai dia silap dan terkasar kata, kami minta maaf,” katanya.

Sementara itu, isteri Salahuddin, Datin Seri Fatimah Taha, 60, ketika ditemui berkata, suaminya adalah seorang yang sangat menjaga kesihatan dan pemakanan.

“Tekanan darah dia ‘okay’, bacaan gula pun ‘okay’, cuma mungkin apa yang sebabkan ‘burst’ (pendarahan otak) mungkin kerana dia penat sangat agaknya.

“Dia memang ada mengadu dia penat dan pening. Syukurlah saya berada bersama dia ketika dia jatuh sakit hari itu (Jumaat), saya tidak boleh bayangkan kalau dia keseorangan waktu itu hendak ‘survive’ (bertahan) dengan sawan dan sebagainya,” katanya sebak.

Fatimah yang kebiasaannya akan bersama Salahuddin dalan kebanyakan program dihadiri Ahli Parlimen Pulai itu berkata, dia sedih apabila memikirkan selepas ini dia berseorangan.

“Sebelum ini, dia akan sentiasa balik, jika keluar tinggalkan saya untuk kerja, tetapi sekarang, dia tinggalkan saya dan dia tidak akan balik lagi,” katanya.

Pada masa sama, adik Salahuddin, Ghazaley, 56, menyifatkan abang sulungnya itu seorang yang ‘workaholic’ dan kerja bermati-matian apabila diamanahkan, namun dia tidak pernah lupakan tanggungjawab terhadap keluarga.

Katanya, Salahuddin juga seorang yang periang dan penyayang sebagai seorang abang sulung. terutama sekali apabila beliau berperanan sebagai pengganti bapa mereka yang meninggal dunia pada 2009.

“Saya memang sayang sangat pada dia, kami cuma tiga beradik lelaki. Kalau dengan emak, Aminah Abdullah (83 tahun), sebulan dua kali, beliau tetap akan singgah rumah dan ziarah emak walaupun sekejap untuk cium tangan emak,” katanya.

Artikel berkaitan: Allahyarham adalah seorang tokoh politik, ‘abang’ kepada ‘adik-adik muda’ dalam politik

Salahuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram meninggalkan seorang balu bersama empat anak lelaki dan dua perempuan serta 11 orang cucu.

Loading...
Terkini