
KUCHING: Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB), syarikat kejuruteraan awam, menerusi anak syarikat milik penuhnya, SCIB Industrialised Building System Sdn Bhd (SCIB IBS) dilantik sebagai sub kontraktor utama untuk projek pembangunan perumahan penting di Kelantan.
Projek berkenaan adalah di bawah SPP Development Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).
Ia merangkumi pembinaan 35 rumah teres satu tingkat dan 12 rumah teres dua tingkat, semuanya terletak di kawasan Bachok, Kelantan.
SCIB dalam satu kenyataan berkata, projek itu telah dianugerahkan kepada MinDagang Resources Sdn Bhd sebagai kontraktor utama, manakala SCIB IBS berperanan sebagai sub kontraktor utama.
Katanya, pelantikan SCIB IBS datang dengan nilai kontrak sebanyak RM8.257 juta. Tempoh pembinaan ditetapkan selama 16 bulan, dengan semua terma dan syarat akan dipersetujui dan ditandatangani dalam Perjanjian Kontrak yang akan datang.
Pengarah Urusan SCIB, Ku Chong Hong, berkata beliau amat berpuashati dengan pencapaian terbaru ini dan pemilihan SCIB IBS sebagai sub kontraktor utama untuk projek perumahan berkenaan dan menjadi bukti kepada keupayaan kukuh syarikat dalam sektor pembinaan.