Tumpuan :
Nasional

Scammer Faraid: Waris perlu ‘lawan’ di mahkamah jika wujud penipuan – Peguam

Oleh: Hilmi Abdul Malik

KUALA LUMPUR: Individu yang teraniaya daripada isu ketirisan dalam pembahagian harta pusaka disaran untuk membuat tuntutan menerusi saluran undang-undang.

Peguam, Mahmud Jumaat berkata, proses itu penting dalam menunut keadilan selain mengelak daripada isu harta pusaka yang tidak diurus dengan baik.

Ujarnya lagi, mangsa kebiasaannya mempunyai peluang yang cerah untuk menang di mahkamah melalui beberapa bukti yang mudah dikemukakan di mahkamah.

“Untuk seseorang mangsa (kes faraid) untuk pergi ke mahkamah dan cabar itu memang sangat mudah kerana hak mereka memang ada di situ kerana dia cuma buktikan yang dia adalah waris.

“Lebih mudah apabila ia melibatkan anak kerana secara automatik hak itu akan dapat. Proses undang-undang syariah juga akan berlandaskan hukum, pembahagian atau hak mangsa itu memang sudah termaktub dalam Al-Quran.

“Tidak seperti pihak yang dituntut kerana mereka akan hadapi masalah besar untuk buktikan segala dokumen dan instrumen yang mereka kemukakan itu adalah sah,” katanya dalam siri Podcast Utama Buletin Tv3 hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar tindakan pihak ketiga yang dilihat mengambil kesempatan dalam mencari keuntungan.

Beliau merujuk kepada syarikat-syarikat pengurusan harta yang bertindak secara melulu dan mengetepikan soal hukum demi mendapat habuan mereka.

Tindakan itu selain menyebabkan kesukaran daripada pihak waris, ia juga mampu menyukarkan peranan peguam dalam meneruskan kes di mahkamah berikutan tindakan yang bercanggah.

Lebih buruk, ada juga pihak syarikat yang secara terbuka melakukan promosi khususnya di media sosial secara terbuka tanpa memikirkan soal implikasi yang bakal mendatang.

Dalam pada itu, Mahmud turut menzahirkan kebimbangan apabila melihat kepada angka kes melibatkan harta pusaka yang tidak diurus dengan baik.

“Apa yang saya boleh katakan, banyak urusan pembahagian harta tidak berjalan secara sempurna apatah lagi soal keberkatan.

“Statistik sebelum tahun 2020 terdapat RM60 bilion harta tidak diurus dan pada 2023, statistik menunjukkan jumlah itu sudah meningkat sehingga RM90 bilion,” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini