Tumpuan :
Nasional

Scammer Faraid: Kurang ilmu, cipta ‘hukum sendiri’ punca hubungan keluarga retak

Oleh: Hilmi Abdul Malik

KUALA LUMPUR: Isu ketirisan dalam pembahagian harta pusaka sering kali dilihat menjadi barah dalam kalangan masyarakat sehingga ada yang sanggup menjejaskan hubungan kekeluargaan.

Bahkan, isu perebutan harta selepas pemergian insan tersayang ini mampu berpanjangan ekoran daripada sikap tamak dalam membolot harta si mati.

Akibatnya, nafsu yang membuak telah mengheret perasaan si pelaku hingga berakhir dengan episod tragedi dalam hubungan kekeluargaan yang sememangnya berlaku dalam realiti masyarakat.

Presiden Pertubuhan Du’ah Faraidh Malaysia, Mohd Khusairi Saleh berkata, faktor kekurangan ilmu dalam memahami selok-belok berkaitan faraid menjadi punca utama berlakunya perbalahan.

Tidak kira sama ada melibatkan ibu-bapa mahupun adik beradik, hubungan yang sekian lama harmoni mampu menjadi keruh apabila soal pembahagian harta mula dipersoal.

Lebih menyedihkan, wujud segelintir masyarakat yang bertindak mencipta ‘hukum sendiri’ demi kepuasan dan kepentingan diri sendiri.

“Masyarakat kita sebenarnya ‘kosong’ tentang ilmu faraid maka terjadilah tindakan membuat keputusan sendiri atau cipta hukum sendiri.

“Kadang-kadang wujud sentimen yang direka misalnya anak-anak atau ahli keluarga yang guna alasan jaga ibu-bapa dan berhak dapat harta yang lebih,” katanya dalam siri Podcast Utama Buletin TV3 hari ini.

Mengulas lanjut, keadaan menjadi lebih buruk apabila kekeliruan berhubung soal faraid dirujuk kepada pihak yang kurang tepat.

Berbekalkan ilmu yang salah, maka isu pembahagian harta pusaka mula menjadi pencetus kepada babak pertelingkahan.

“Penglibatan pihak ketiga yang kurang pakar sebenarya akan keruhkan lagi keadaan. Perkara ini boleh terjadi pada sesiapa sahaja malah ada juga golongan agamawan yang menyalurkan ilmu kurang tepat apatah lagi bagi orang biasa.

“Khidmat nasihat yang bercanggah khususnya dalam konteks teori dan teknikal sering kali berlaku dan ini yang menjadi punca utama berlakunya salah faham dalam soal faraid,” katanya.

Hakikatnya, permasalahan seumpama itu sememangnya berlaku dalam realiti kehidupan masyarakat di luar sana yang memandang enteng terhadap isu berkenaan.

Ujar Mohd Khusairi lagi, kekeliruan berkenaan mampu diatasi dengan memperbanyakkan program ilmu dan perkongsian berhubung faraid secara lebih meluas.

“Kesedaran tentang ilmu faraid masih dilihat kurang, program-program ceramah misalnya di masjid atau surau itu bukan tiada tetapi boleh dikatakan belum mencukupi.

“Apabila kurangnya pemahaman atau ilmu maka soal hukum itu tidak lagi menjadi rujukan utama dalam isu pembahagian harta pusaka,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini