Oleh: Hilmi Abdul Malik
KUALA LUMPUR: Tindakan menyembunyikan harta seseorang individu yang telah meninggal dunia demi mendapatkan kepentingan peribadi adalah haram di sisi agama.
Presiden Pertubuhan Du’ah Faraidh Malaysia, Mohd Khusairi Saleh sebaliknya berkata, ia perlu dibentang secara adil dan telus melibatkan seluruh ahli keluarga terdekat.
Jelasnya, tindakan itu bagi mengelak isu perbalahan melibatkan ahli keluarga yang dikhuatiri berlaku pada masa akan datang.
“Bila berlaku kematian wajib letak hukum faraid, waris perlu tahu hak, jadi jangan ada berlaku penyembunyian.
“Kalau ada berlaku penyembunyian tidak kira dari pihak mak atau anak-anak sekalipun, maka perbuatan itu haram sebab ini soal mengambil hak orang lain jadi tidak boleh dibuat main…. apatah lagi jika wujud hak anak yatim,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam siri Podcast Utama hari ini.
Mohd Khusairi mengulas isu berkenaan rentetan kemelut berhubung agihan harta pusaka yang masih dilihat polemik dalam realiti kehidupan masyarakat.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati ibu-bapa khususnya agar melakukan persiapan awal berhubung soal pembahagian harta pusaka.
Menurutnya, tindakan itu penting dalam mewujudkan suasana harmoni dalam institusi kekeluargaan selain mampu mengelakkan tercetusnya pertelingkahan.
Sebelum ini, wujud beberapa kes berhubung perbalahan melibatkan agihan harta pusaka sehingga menyebabkan terputusnya hubungan kekeluargaan malah ada yang turut berakhir dengan peristiwa tragedi akibat perebutan harta.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.