comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ‘Scammer’ badal haji, orang ramai perlu peka

Oleh Ifara Wahid

PETALING JAYA: Penawaran pakej badal haji dengan harga yang murah bukanlah perkara baru dan taktik penipuan sebegini sering muncul setiap kali tiba musim haji.

Menurut pendakwah bertauliah, Ustaz Sulaiman Mohd Nuba, modus operandi yang dilakukan oleh ‘scammer’ ini lazimnya dilakukan melalui paparan iklan terutamanya di media sosial untuk menarik perhatian ramai.

“Orang ramai yang ingin melaksanakan badal haji, perlu peka dengan tawaran iklan yang disiarkan, terutamanya harga yang ditawarkan dan melakukan rujukan kepada pihak yang bertanggungjawab.

“Apabila harga yg ditawarkan utk badal haji itu terlalu rendah maka ia adalah tanda-tanda golongan-golongan yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

“Saya menyeru tuan puan untuk berhati-hati dengan tawaran-tawaran yang terlalu rendah bahkan tidak masuk akal berbanding dengan kos haji yang semakin tahun semakin meningkat,” katanya kepada Buletin TV3.

Foto hiasan

Beliau juga berkata, pakej murah yang ditawarkan jelas mencurigakan dan tidak berasas sedangkan kerajaan Arab Saudi sudah menetapkan kos permit haji pada kadar tertentu, termasuk untuk rakyat tempatan.

Ujar Mohd Sulaiman, tindakan tegas perlu diambil pihak berkuasa kepada mereka yang menawarkan khidmat badal haji dengan harga tidak munasabah dan hanya ingin mengaut keuntungan semata-mata dengan mengetepikan soal halal dan haram.

Terdahulu, Lembaga Tabung Haji (TH) meminta umat islam di negara ini agar lebih berhati-hati dengan tawaran badal atau upah haji oleh agensi pelancongan mahupun individu tertentu.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Eksekutif TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman memaklumkan, setiap individu dari luar Mekah perlu mendapatkan visa haji untuk melaksanakan ibadat haji yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

“Tawaran badal haji antara RM1000 hingga RM3500 ringgit adalah terlampau murah jika dibandingkan dengan harga asal permit haji yang harganya paling rendah sekitar RM4800.

“Ini turut mengambil kira kos perbelanjaan lain yang perlu ditanggung oleh penduduk tempatan Arab Saudi untuk menunaikan ibadat haji.

“TH akan terus mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah waspada bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Tambahnya, TH dan anak-anak syarikatnya tidak terlibat dalam sebarang bentuk promosi, penawaran, mahupun penyediaan perkhidmatan badal haji.

Loading...
Terkini