Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Keputusan berhubung pembatalan dan penggantungan lesen agensi pelancongan yang tidak bertanggungjawab diserahkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata pihaknya menyerahkan kepada MOTAC memandangkan kementerian itu mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana agensi pelancongan.
Beliau turut mengingatkan rakyat tempatan untuk merujuk dan menyemak mana-mana agensi pelancongan dengan MOTAC agar tidak berlaku kes penipuan dan seumpamanya.
Katanya, pengguna perlu lebih berhati-hati dengan tawaran yang tidak masuk akal selain tidak terpengaruh dengan iklan agensi yang menggunakan selebriti dan pempengaruh media sosial.
“Rakyat secara keselurhan yang memang berminat untuk menunaikan umrah, berhati-hati lah.
“Saya dah kerap kali sebutkan pastikan semak semula, tak jadi masalah untuk kita supaya tak ditipu.
“Hubungi MOTAC, tengok sama ada agensi pelancongan itu berdaftar ataupun tidak supaya kita tidak menghadapi masalah kemudian hari,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) kali ke-15 di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberi peringatan kepada pengusaha dan pemilik agensi pelancongan agar tidak menipu dan menyalahgunakan wang yang diperoleh daripada pelanggan untuk kepentingan diri.
Beliau turut menasihati pihak berkaitan untuk menggalas amanah dan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat terutamanya dalam urusan mengerjakan ibadah umrah.
Katanya, amanah yang diberikan kepada pihak terbabit bertepatan dengan Surah an-Nisa, ayat 58 yang menyatakan “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).”
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.