Tumpuan :
Nasional

‘Saya yakin polis telah jalankan siasatan, kumpul bukti’- Bapa Khairul Ikhwan

Bapa Allahyarham Khairul Ikhwan, Datuk Mazupi Abdul Rahman

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

BANGI: Ahli keluarga kepada Allahyarham Khairul Ikhwan yakin pihak polis telah menjalankan siasatan dan mengumpul bukti susulan kemalangan yang mengorbankan keluarganya.

Bapa mangsa, Datuk Mazupi Abdul Rahman berkata, beliau percaya pihak berkuasa mengambil serius terhadap individu yang didapati bersalah hingga mengakibatkan kemalangan tersebut.

“Saya yakin pihak polis telah menjalankan siasatan, saya percaya siasatan dilakukan adil dan saya percaya dalam kejadian ini bukti telah dikumpulkan oleh pihak polis.

“Saya percaya pihak pendakwa raya akan mengambil tindakan kepada mereka yang melakukan kesalahan,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bandar Baru Bangi, di sini.

Sementara itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat yang membantu sepanjang proses pengebumian hari ini.

“Terima kasih kepada polis, rakan sejawat yang datang ramai-ramai solat jenazah dan mendoakan arwah agar aman dalam alam kubur. Saya sendiri terharu kerana ramai doakan mereka,”ujarnya.

Terdahulu jenazah lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara, dekat Melaka, semalam, selamat dikebumikan jam 7.45 malam.

Jenazah Khairul Ikhwan Mazupi, 32, Ramli Ab Wahab, 66, Fauziah Jaafar, 69 dikebumikan dalam tiga liang lahad berasingan manakala, Allahyarham Fadzlenna Ramli, 32, dikebumikan dalam satu liang lahad bersama anak bongsunya Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2.

Loading...
Terkini