![](https://media.buletintv3.my/2022/12/KV8I8Qu9-CMS-PPZ-15.jpg)
Kuala Lumpur: Balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd Ali menerima dengan terbuka keputusan Mahkamah Tinggi di sini, hari ini yang menolak rayuan adik iparnya, Ali Puteh.
Rayuan itu dibuat Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan dan tiga ahli keluarga bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membayar ganti rugi RM60,000 kepada Siti Norhidayah kerana memfitnah, dua tahun lalu.
Tidak menganggap ia sesuatu yang perlu dibanggakan, Siti Norhidayah, 30, berkata, dia sebolehnya enggan mengulas panjang lagi perkara itu.
“Selepas dimaklumkan perkara ini oleh peguam, saya terima dengan terbuka. Kalau boleh saya tak nak ulas panjang lagi.
“Biarpun rayuan pihak sana ditolak mahkamah, saya tak anggap ia sesuatu yang perlu dibanggakan.
Apapun, saya tetap nak mengucapkan terima kasih kepada semua (pihak) yang sentiasa mendoakan saya dan anak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Dalam prosiding hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menolak rayuan Ali Puteh dan tiga ahli keluarganya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen, Februari lalu, Ahmad Shahrir turut menolak rayuan Ali Puteh dan tiga ahli keluarganya untuk mengetepikan keputusan mahkamah sama yang menolak tuntutan samannya terhadap usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dan Siti Nor Hidayah.
Saman itu berhubung satu temu bual yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Youtube Aliff Syukri.
Sementara itu, rayuan Norhidayah untuk menaikkan jumlah ganti rugi yang diperintahkan Mahkamah Sesyen selepas membenarkan tuntutan samannya, turut ditolak.