KLUANG: “Tolonglah, jangan biarkan (kejadian berulang) kepada orang lain, (cukuplah) saya yang merasakan,” itu luah suami kepada mangsa serangan gajah di Jalan Felcra Batu 29, Kahang, di sini, hari ini.
Sugianto Giman, 64, warga Indonesia memaklumkan beliau mengetahui kejadian yang menimpa isterinya Misirah Soliman, 75, selepas dimaklumkan seorang penduduk kampung, Nor Hassan Mohd Doom, 62,
“Saya terperanjat apabila Hassan beritahu yang isteri dipijak gajah, sebelum kami bergegas ke tempat kejadian.
“Sejurus tiba, saya nampak isteri terbaring dan mengangkat tangan. Dia merintih kesakitan ketika saya angkat ke kereta Hassan sebelum kami membawanya ke Klinik Kesihatan Kahang.
“Ketika berada dalam pangkuan sepanjang perjalanan ke klinik, saya sempat ajar isteri mengucap dua kalimah Syahadah. Ketika tiba di klinik, kami dapati ia tutup, sementara itu isteri saya semakin lemah sebelum meninggal dunia dalam ribaan saya,” katanya.
Kumpulan gajah terbabit dipercayai datang dari kawasan ladang sawit terletak berdekatan kebun getah tempat mangsa bekerja.
Dalam kejadian jam 7 pagi tadi, mangsa yang bekerja sebagai penoreh getah maut selepas diserang gajah liar dalam kebun di Jalan Felcra Batu 29, Kahang di sini.
Kejadian disedari seorang pekerja Indonesia yang kemudian berlari mendapatkan pertolongan selepas melihat mangsa yang terbaring sendirian dikerumuni kawanan 10 ekor gajah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.