comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Saya terima laporan banyak kaunter imigresen ditutup’ – MB Johor

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), yang merupakan pintu masuk negara melalui negeri ini.

Beliau berkata, ia berikutan pihaknya menerima aduan berhubung banyak kaunter pemeriksaan imigresen ditutup.

Menurutnya, pihak JIM perlu konsisten dalam memberi perkhidmatan di pintu masuk itu memandangkan ketika lawatan beliau ke BSI beberapa hari lalu, beliau berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan terutamanya apabila semua kaunter dibuka dan beroperasi sepenuhnya.

“Saya mohon supaya pihak imigresen terus memberi perkhidmatan yang terbaik seperti minggu lalu.

“Hari ini (semalam), saya terima laporan bahawa banyak kaunter yang ditutup walaupun ada banyak kenderaan.

“Kita perlu terus konsisten dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” tulisnya dalam hantaran di Facebook rasminya, Onn Hafiz Ghazi pada petang semalam.

Antara gambar dikongsi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas menerima aduan daripada orang awam. -Foto: Onn Hafiz Ghazi/Facebook

Sementara itu, Pengarah JIM Johor Baharuddin Tahir berkata, beberapa kaunter di CIQ, BSI tidak dapat beroperasi atas sebab tertentu termasuk masalah teknikal dan keselamatan.

Menurutnya, penjelasan berhubung perkara itu sudah dibuat pihaknya kepada Menteri Besar Johor.

“Bukan tutup, istilah yang tepat tidak dapat beroperasi. Memang ada sebahagian kecil tidak beroperasi atas beberapa alasan seperti masalah teknikal, kerja penyelenggaraan, isu keselamatan dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Antara gambar dikongsi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas menerima aduan daripada orang awam. -Foto: Onn Hafiz Ghazi/Facebook

Isnin lalu, Onn Hafiz yang sempat singgah beraya di BSI mengucapkan penghargaan kepada pengurusan JIM Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta petugas lain di bangunan itu atas komitmen mereka memastikan perjalanan yang lancar bagi pengguna sepanjang musim perayaan.

Loading...
Terkini