KUANTAN : “Saya tidak malu mengaku diri saya cacat akibat kanser lidah. Saya tak boleh bertutur seperti biasa seperti orang lain kerana saya tiada lidah,” kata Satiah Sanusi, 39.
Bekas pesakit kanser lidah itu berkata, walaupun keadaannya tidak sempurna, dia menerima takdir dengan hati yang reda.
“Saya bersyukur sangat kerana suami, Hafizan Hamzah, 39, dan anak-anak menjadi tunjang kekuatan dan penguat semangat saya untuk terus hidup,” katanya ketika ditemui di rumahnya dia Taman Balok Jaya, dekat sini, hari ini.
Bercerita mengenai penyakitnya itu, Satiah hanya menyedari kanser sudah berada pada tahap serius berpunca daripada ulser yang kronik dan tidak sembuh dalam tempoh setahun walaupun sudah mendapatkan rawatan.
“Sewaktu kali pertama doktor sahkan saya ada kanser, perasaan saya tenang saja namun selepas kanser berada di tahap yang lebih teruk, saya sedih sangat apabila memikirkan anak-anak yang masih kecil.
“Anak-anak ada bertanya saya menghidap sakit apa sampai tidak boleh makan, minum dan bercakap,” katanya yang menjawab soalan dengan cara menulis di papan putih dan telefon bimbit.
Satiah yang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Balok kemudiannya dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk pemeriksaan lanjut.
“Pakar perubatan mengesahkan saya ada kanser lidah tahap tiga pada Februari 2020 selepas ujian terhadap tisu lidah yang luka dilakukan sebulan sebelum itu.
“Saya langsung tidak boleh makan atau minum seperti biasa dan tidur pun paling lama satu jam saja kerana sakit dan tidak selesa sehingga pembedahan dilakukan,” kata ibu kepada tiga anak berusia anatara 13 hingga 5 tahun itu.
Selepas pembedahan kedua, Satiah hanya minum susu melalui tiub yang dipasang di bahagian hidung manakala tiub di bahagian leher untuk membuang kahak.
Menurutnya, pembedahan pertama dilakukan pada Januari 2020 untuk membuang sel kanser di sebelah kiri lidah dan di bahagian leher kiri.
“Selepas pulih, saya menjalani rawatan radioterapi untuk matikan sel kanser bermula 26 Ogos hingga 8 Oktober 2020 di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Bagaimanapun, selesai radioterapi keadaan kesihatan saya merosot apabila ulser ‘keluar’ semula dan semakin merebak apabila ubat yang diberikan tidak memberi kesan,” katanya.
Berikutan itu, Satiah terpaksa menjalani pembedahan kedua pada 28 Februari 2021 untuk membuang keseluruhan lidah dan gigi bawah bagi mengelak keadaan menjadi semakin kritikal.
“Lagipun, sel kanser sudah mula merebak ke bahagian bawah lidah hingga ke rahang belakang lidah kiri. Bahagian kiri dan kanan leher juga dibedah untuk membuang sel kanser itu,” katanya yang mengharungi pembedahan selama 19 jam di HTAA.
Menurut Satiah, pada hari yang sama juga doktor mengambil kulit bahagian atas paha kanannya untuk menggantikan lidah yang telah dibuang.
“Nasihat saya kepada mereka yang kena ulser lebih daripada tiga minggu, eloklah buat pemeriksaan untuk elak jadi seperti saya,” katanya. – HARIAN METRO