comscore
Tumpuan :
Nasional

Saya tahu ia hanyalah pertuduhan bersifat politik – Muhyiddin

Oleh Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan penerimaan permohonan pembatalan empat tuduhan rasuah berjumlah RM232.5 juta ke atasnya adalah bersifat politik dan tidak berasaskan undang-undang.

Bekas Perdana Menteri kelapan itu turut menyatakan bahawa beliau tidak pernah melibatkan diri di dalam sebarang kesalahan terutamanya dari sudut undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Artikel berkaitan: Muhyiddin dibebaskan daripada pertuduhan menerima suapan RM232.5 juta

“Pihak hakim telah membuat keputusan yang menyatakan pertuduhan terhadap saya adalah tidak betul dan salah dari segi undang-undang.”

“Permohonan saya telah diterima dan diluluskan dan saya bebas daripada segala pertuduhan yang dilakukan oleh pihak tertentu,” ujar beliau ketika sesi sidang media di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Muhyiddin membatalkan empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi BERSATU.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam penghakiman ringkasnya berkata mahkamah mempunyai kuasa sedia ada untuk mengetepikan atau membatalkan pertuduhan serta menggantung pertuduhan secara kekal.

Hakim itu berkata empat pertuduhan terhadap Muhyiddin yang menyatakan suapan bagi sekutunya BERSATU tidak mendedahkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM.

“Mahkamah mendapati Muhyiddin dituduh dengan suatu kesalahan yang tidak diperuntukkan mengikut undang-undang. Keempat-empat pertuduhan itu cacat kerana tidak mendedahkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM.”

“Pertuduhan yang tidak meletakkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM adalah salah laksana keadilan. Empat kesalahan itu juga tidak mengandungi butir-butir cara kesalahan dilakukan sebagai mana diperuntukkan di bawah Seksyen 154 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ),” katanya.

Mengikut rekod, Muhyiddin memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan itu pada 18 April lalu.

Selain empat pertuduhan itu, Muhyiddin masih berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM195 juta yang dimasukkan dalam akaun CIMB Bank milik BERSATU.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari 2021 dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022 mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

13 Mac lalu, Ahli Parlimen Pagoh itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Loading...
Terkini