IPOH: Siasatan berhubung insiden bendera China dikibar semasa Sambutan Guan Gong Sedunia di Dataran Menara Condong Teluk Intan, Khamis lalu diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis.
Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming berkata, orang ramai perlu menghormati proses siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk berhubung himpunan kibar Jalur Gemilang di lokasi sama pada Sabtu lalu.
“Bagi saya, isu ini saya serah kepada polis untuk mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang negara kita.
“Saya percaya Ketua Polis Negeri (Datuk Azizi Mat Aris) sudah keluarkan kenyataan.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa dan menghormati proses undang-undang,” kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu ketika ditemui pemberita pada Malam Media sempena Sambutan Deepavali, malam tadi.
Terdahulu, Azizi dilaporkan berkata, pihaknya sudah merakam percakapan 20 individu termasuk penganjur Sambutan Guan Gong Sedunia dan 16 peserta warga China yang dipercayai terbabit dalam insiden kibaran bendera asing itu.
Beliau dipetik berkata, penganjur itu mempunyai permit yang sudah diluluskan pada 2 Oktober lalu, tetapi didapati melanggar syarat permit kerana membenarkan warga asing menyertai perarakan.
Justeru itu, katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mengibar bendera asing di tempat awam dan Seksyen 4(1) Akta Perhimpunan 2012 iaitu melanggar syarat permit.
Kertas siasatan akan dirujuk ke pendakwa raya pada hari ini untuk tindakan selanjutnya.
Semalam Azizi berkata, polis membuka kertas siasatan terhadap perhimpunan kibar Jalur Gemilang yang disertai lebih 300 individu di Dataran Menara Condong Teluk Intan kerana tiada notis dihantar penganjur bagi acara itu.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.