comscore
Tumpuan :
Nasional

Saya sedar ramai tidak senang kehadiran saya di pintu masuk negara – Onn Hafiz

Foto hiasan

ISKANDAR PUTERI: Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, menegaskan beliau akan terus membuat lawatan mengejut di dua Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

Jelasnya tindakan itu akan berterusan selagi isu di dua CIQ berkenaan, tidak diselesaikan sepenuhnya.

“Saya sedar dan insaf bahawa ramai yang tidak senang dengan kehadiran saya di pintu-pintu masuk utama negara ini.

“Ramai yang tidak suka dengan lawatan-lawatan mengejut saya.

“Namun, percayalah saya tidak akan berhenti selagi mana isu legasi yang menghantui rakyat di negeri dan negara ini tidak diselesaikan.

“Saya yakin dan percaya dengan kepimpinan Imigresen Johor yang baharu, kita akan dapat menyelesaikan isu membabitkan lebih 250,000 Bangsa Johor yang berhempas pulas mencari rezeki dengan berulang-alik setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Persidangan Ketiga DUN Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Terdahulu, Liew Chin Tong (DAP-Perling) bertanya bidang kuasa negeri bagi memudahkan pergerakan keluar masuk di sempadan Malaysia-Singapura.

Dalam pada itu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Machap, berkata tindakannya sering membuat lawatan mengejut ke dua CIQ dan pintu masuk negeri ini supaya rakyat nasib rakyat yang berulang-alik bekerja di Singapura setiap hari, terbela.

“Kita lakukannya supaya mereka dan ahli-ahli keluarga mereka mempunyai kualiti kehidupan yang lebih baik.“Insya-Allah, jika kita memudahkan urusan mereka, Allah juga akan memudahkan urusan kita,” katanya.

Menjawab soalan Liow Cai Tung (DAP-Johor Jaya) berhubung status sistem Kod QR di CIQ bagi rakyat Malaysia memasuki Singapura, Onn Hafiz berkata, sistem itu masih lagi berada dalam fasa pembangunan.

“Insya-Allah, ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan akan dimaklumkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.

Dalam pada itu, Onn Hafiz mengakui pergerakan keluar masuk antara sempadan Johor-Singapura ini bukanlah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Ia adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Namun Johor juga adalah anggota tetap Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan di Tambak Johor yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini