BACHOK: Pelajar cemerlang 11A, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Muhammad Syahril Saidi, 18,
reda dengan pemergian ibu tersayang, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, yang menghembuskan nafas terakhir jam 8.20 malam tadi.
Artikel berkaitan : Ibu pelajar 11A meninggal dunia
“Saya reda umi pergi buat selama-lamanya,” luahnya ringkas ketika ditemui di rumahnya .
Ahli Parlimen Bachok Mohd Syahir Che Sulaiman pagi tadi hadir menziarah keluarga Syahril.
Ahli keluarga pelajar itu, Zainab Othman, 58, berkata, cucu saudaranya pernah meluahkan perasaan tentang tumpuan media dan orang ramai terhadap dia dan ibunya.
“Mereka dah derita lama, saya beritahu cucu (Syahril) mungkin ini cara Allah angkat darjat awak dan arwah ibu,” katanya ketika ditemui di rumah sewa pelajar itu di Kampung Kandis di sini, hari ini.
Jenazah Allahyarham ibu pelajar itu dijangkakan disolatkan di Masjid Pondok Moden, Kandis sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Lati hari ini.
Ibu pelajar berkenaan menghidap sakit angin Ahmar sejak 2019 dan keadannya semakin lemah empat hari sebelum keputusan SPM diumumkan, Khamis lalu.
Keadaan ibunya menyebabkan Syahril tidak sampai hati untuk meninggalkan ibunya bagi mengambil keputusan SPM.
Pelajar terbaik Sekolah Menengah Ugama (SMU) Darul Iman, Beris Lalang, itu diraikan warga sekolah yang hadir ke rumahnya untuk menghantar keputusan SPM sehingga videonya tular di media sosial.