comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Saya reda, terima kasih Allah untuk 24 tahun bersama mereka….

KAMPAR: “Saya perlu reda dengan pemergian mereka, semoga syurga untuk arwah isteri dan empat anak saya. Terima kasih Allah kerana beri tempoh 24 tahun hidup bersama mereka,” kata Nasaruddin Abu Bakar, 53.

Nasaruddin adalah suami kepada Azriyani Abdul Latif, 45; yang maut bersama empat anak mereka dalam nahas di Kilometer 310.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat sini, awal pagi tadi.

Selain Azriyani, turut maut dalam nahas itu adalah anak sulung mereka, Muhammad Azib Nasaruddin, 23; anak keenam iaitu Siti Nur Aminah Nasaruddin, 8; anak ketujuh iaitu Muhammad Fawwaz Nasaruddin, 7; dan anak bongsu mereka iaitu Ahmad Uwais Al Qorni Nasaruddin, 5.

Bapa lapan anak itu berkata, tiada lain yang dapat diharapkan susulan pemergian isteri dan empat anak serentak melainkan berazam untuk terus memberi atau menggalas tugas sebagai bapa, sekali gus sebagai ibu dengan lebih sempurna kepada empat lagi anaknya yang masih ada.

Nasaruddin (tiga dari kiri) kehilangan isteri dan empat anak serentak dalam kemalangan pagi tadi menenangkan anak-anaknya.

Nasaruddin yang bekerja dengan sebuah syarikat penyelenggaraan infrastruktur di lebuh raya di Bertam, Pulau Pinang, sebelum ini hanya pulang ke rumah mereka di Taman Bunga Raya, Kuala Kangsar pada setiap hujung minggu.

“Akibat tuntutan tugas, saya balik ke rumah hanya setiap hujung minggu antara Jumaat hingga Ahad. Saya dimaklumkan mengenai kemalangan yang menimpa keluarga pada kira-kira jam 5 pagi tadi selepas menerima panggilan anggota polis yang bertugas di sini,” katanya yang kelihatan tenang ketika ditemui pemberita di perkarangan rumah mayat Hospital Kampar, di sini, hari ini.

Azriyani Abdul Latif, 45, yang maut bersama empat anaknya dalam perjalanan pulang ke kampung di Tapah untuk membawa bapanya ke hospital.

Anaknya, Ahmad Danish Basyir Nasaruddin, 16, berkata ibu bersama empat adik beradiknya bertolak dari rumah mereka di Kuala Kangsar lewat malam tadi ke rumah kampung di Tapah Road kerana datuknya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan, dijadualkan pagi ini.

Sementara itu, sepupu Azriyani, Nur Haniza Abdul Hamid, 36, Azriyani menjemputnya datang ke rumah di Taman Bunga Raya, Kuala Kangsar, melalui aplikasi WhatsApp semalam.

“Semalam kali terakhir saya berhubung dengan arwah melalui WhatsApp, dia jemput semua datang ke rumahnya sempena Syawal yang masih berbaki. Kali ini, semua akan datang rumahnya (untuk majlis pengkebumian),” katanya.

Menurut Nur Haniza, jenazah lima beranak itu disolatkan di Masjid Al-Hadhari, Padang Rengas dan disemadikan dalam satu liang di tanah perkuburan berhampiran masjid berkenaan.

Nahas kira-kira jam 2.27 pagi tadi yang mengorbankan lima beranak itu terjadi apabila kereta Proton Saga dinaiki mereka yang dipandu Muhammad Azib melanggar belakang sebuah lori muatan tanah yang dibawa perlahan di lorong kiri jalan kerana jalan mendaki di kawasan berbukit.

Loading...
Terkini