comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Saya reda dengan ketentuan’ – Bapa Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq

Ahmad Said menunjukkan gambar kenangan anaknya, Allahyarham Muhamad Syafiq yang terkorban dalam serangan di Balai Ulu Tiram. – FOTO: NSTP

KUANTAN: “Saya reda dengan ketentuan, sudah sampai masa, nak tak nak saya kena terima kenyataan,” kata bapa Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq, Ahmad Said Md Piah, 65.

Dalam kejadian 2.45 pagi, hari ini, Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad dan Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor.

Namun, beliau berbangga kerana Muhamad Syafiq yang juga anak ketujuh daripada lapan beradik itu meninggal dunia ketika menjalankan tugas.

“Sebenarnya, pada awalnya saya ingatkan main-main atau `scammer’ yang memaklumkan anak saya meninggal dunia kerana kena tembak oleh penjenayah apabila dihubungi anggota polis dari Balai Polis Ulu Tiram.

“Saya tidak percaya dan macam mimpi pun ada, betul ke apa yang dimaklumkan ketika berada di kebun pada jam 8 pagi tadi.

“Apabila pulang ke rumah dan memaklumkan kepada isteri (Aini Mohd Sharif, 57), dia sedih sebelum menghubungi anak yang berada di Kuala Lumpur dan kemudiannya mengesahkan kematian Muhamad Syafiq.

“Anak saya di Kuala Lumpur sudah tahu lebih awal cuma tidak memaklumkan kepada kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Mahkota Jaya, Batu 11, Jalan Gambang, di sini hari ini.

Ahmad Said berkata, kali terakhir beliau bertemu Muhamad Syafiq pada Mac lalu iaitu sebelum Ramadan kerana Allahyarham pulang bercuti selama seminggu.

Katanya, Allahyarham memaklumkan akan pulang pada Julai atau Ogos depan, selepas tidak dapat bersama menyambut Aidilfitri kerana bertugas.

“Allahyarham anak yang baik tetapi serius berbanding adik-beradik lain dan minat menjadi polis sejak sekolah lagi apabila menyertai kadet polis.

“Pada masa sama, tiga abangnya iaitu dua daripadanya berkhidmat sebagai tentera manakala seorang lagi anggota polis,” katanya.

Dalam kejadian 2.45 pagi itu, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 tahun dan suspek yang berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan cedera dikenali Koperal Mohd Hasif Roslan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini