Tumpuan :
Hiburan

‘Saya penting diri, bodoh ganggu rumah tangga Hafidz’ – Athira Yuhada

Athira Yuhada mendakwa cuba mengelak selepas Hafidz cuba menghubunginya sejak sembilan tahun lalu.

KUALA LUMPUR: Wanita didakwa menjadi punca pergolakan rumah tangga pelakon Hafidz Roshdi dan isteri, Nurul Shuhada Mat Shukri iaitu Athira Yuhada tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.

Athira menerusi hantaran di Instagram (IG) mengakui, dia hanyalah insan lemah selain menyifatkan tindakan dibuat tidak wajar dan mementingkan diri sendiri.

Katanya, punca kembali berhubung dengan Hafidz disebabkan rasa simpati terhadap masalah kesihatan mental dialami pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu.

“Assalamualaikum, saya Athira Yuhada. Saya dengan hati terbuka ingin memohon maaf kepada Shuhada, Humairah dan Umar (anak Hafidz dan Syuhada).

“Apa yang saya lakukan sangat mementingkan diri sendiri. Selepas Hafidz cuba menghubungi saya beberapa kali sejak sembilan tahun lalu, saya sedaya-upaya cuba mengelak.

“Namun, akhirnya perkara ini berlaku kerana mengetahui keadaan kesihatan mental yang membuatkan saya simpati dan ingin menyokong apa dilaluinya.

“Saya akui insan yang lemah dan bodoh apabila hanyut dalam situasi ini (mengganggu rumah tangga orang),” tulisnya.

Bagaimanapun, Athira menjelaskan, dia sudah tidak berhubung dengan Hafidz dan menegaskan perkara seperti itu tidak akan berulang kembali.

“Saya sudah lama tidak berhubung dengan Hafidz dan tidak akan berlaku lagi. Saya dengan rendah diri sekali lagi memohon maaf kepada Shuhada, Humairah dan Umar,” tulis Athira.

Terdahulu, identiti Athira terbongkar menerusi satu hantaran dalam IG yang memaparkan tangkap layar berbalas mesej mesra bersama Hafidz di aplikasi WhatsApp.

Ia sekali gus menguatkan dakwaan rumah tangga dibina Hafidz bersama Nurul Shuhada selama hampir tujuh tahun kini bergolak selepas menerima kehadiran orang ketiga.

Hafidz yang juga bekas peserta program realiti, Hero Remaja 2011/2012 mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Humairah, 6 dan Umar, 3. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini