Tumpuan :
Nasional

“Saya nekad dedah video penyeksaan haiwan, selepas dua tahun menunggu”- Aktivis Haiwan

Gambar dirakam dua tahun lalu menunjukkan anjing terbiar yang didakwa dibunuh dan dibiarkan mereput dalam lubang.

Oleh: Kumaran Rajamoney

MANJUNG: Seorang aktivis haiwan, Khairil Azhar Khairuddin nekad membuat pendedahan mengenai tindakan pelupusan haiwan terbiar secara kejam menerusi aplikasi media sosial, sejak lima hari lalu.

Tindakan yang didakwa dilakukan pihak berwajib itu katanya dilihat gagal apabila mengambil langkah mudah dengan melakukan pembunuhan yang disifatkannya sebagai kejam.

“Video itu dirakam ketika saya dan rakan melakukan usaha memberi makan kepada anjing terbiar. Apabila berada di lokasi itu, kami sedar bahawa bangkai haiwan terbiar yang kebanyakkan adalah anjing bergelimpangan dalam lubang. Ada anak-anak anjing yang masih hidup juga dibiar untuk mati dengan sendirinya.

“Lokasi itu kini tidak lagi digunakan bagi melupuskan anjing atau haiwan terbiar lain. Sebaliknya, modus operandi ditukar dengan haiwan terbiar dipercayai dibawa ke kawasan hutan berhampiran. Ia kemudiannya sama ada ditembak mati atau dilepas bebas untuk mati kebuluran di kawasan itu,” katanya ketika ditemui Buletin TV3.

Tambahnya, pelbagai usaha telah dilakukan beliau dan aktivitis lain bagi membolehkan pengurusan haiwan terbiar dilakukan dengan baik, namun menemui jalan buntu.

Khairil Azhar Khairuddin, Aktivis Haiwan.

Ini termasuk cadangan memandulkan haiwan terbiar supaya ianya tidak membiak dan kawalan populasi dapat dilakukan.

“Kami hanya meminta pihak PBT untuk berkomunikasi dengan aktivitis atau Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk memastikan pengurusan haiwan ini dilakukan dengan menitikberatkan nilai kemanusiaan. Bukan semua anjing boleh ditembak mati dengan alasan untuk mengelak dari jangkitan penyakit seperti ‘rabies’.

“Orang ramai juga perlu diberikan kesedaran untuk tidak menjadi penternak anjing dan kucing, kemudian membuangnya di kawasan awam,” tegasnya.

Khairil sebelum ini mendedahkan beberapa buah video yang memaparkan anjing terbiar di aplikasi media sosial.

Video itu memaparkan anjing-anjing yang telah mati dilonggokkan dalam satu lubang yang sama dan mula mereput.

Ada di antara anjing itu dipercayai masih bertuan kerana mempunyai kolar di leher.

Buletin TV3 akan mendapatkan reaksi pihak bertanggungjawab berhubung pendedahan ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini