
Oleh: Kumaran Rajamoney
PARIT: Riadah lima sahabat berakhir tragedi apabila dua daripadanya hilang dibawa arus sungai di Kampung Tepus, di sini petang semalam.
Saksi kejadian, Mohd Irfan Solihin Mohd Rizal, 14 berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama empat sahabatnya sedang bermain bola di beting pasir Sungai Perak.

Dua remaja, Muhammad Nazrin Haidar Mohd Hisham dan Muhammad Naufal Aiman Dzulkarnain dipercayai lemas sekitar jam 4 petang, ketika cuba mendapatkan bola yang terjatuh dalam sungai.
“Aiman cuba mendapatkan bola itu tapi dibawa arus deras walaupun kawan sudah minta untuk tidak berbuat demikian.”
“Nazrin yang kemudiannya cuba membantu dengan menghulurkan sebatang buluh turut hanyut dibawa arus deras,” katanya.
Mohd Irfan kemudiannya telah mendapatkan pertolongan dari penduduk kampung.
“Mereka merupakan kawan saya sejak kecil. Saya masih trauma dengan kejadian itu dan tidak dapat tidur sepanjang malam tadi,” tambahnya.
Semalam, Jabatan Bomba Penyelamat (JBPM) Perak dalam kenyataan memaklumkan dua remaja dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Muhammad Shah, Parit itu dikhuatiri lemas selepas cuba mengambil bola yang terjatuh dalam sungai berkenaan.
Bomba menerima laporan kejadian berkenaan pada 4.21 petang daripada orang awam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan operasi diteruskan pagi tadi melibatkan 25 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis, Pangkor, Seri Iskandar dan Kuala Kangsar serta polis dan penduduk sekitar.
Radius operasi akan diperluaskan hingga lima kilometer (km) dari lokasi kejadian dengan turut melibatkan bantuan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) serta Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Pangkor.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.