GEORGE TOWN: Ibu kepada dua beradik yang kritikal selepas termakan keropok yang mengandungi racun tikus merayu orang ramai agar mendoakan anaknya segera sembuh dan pulih seperti sedia kala.
Nurain Hasnorizal, 25, yang ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP), berkata, ketika kejadian dia menyedari anaknya masuk ke dalam rumah dan tidak lama kemudian, anak bongsunya diserang sawan.
Katanya, dia turut memeriksa keadaan anak sulungnya yang dalam keadaan serupa selain mulut berbuih.
“Saya lihat ada plastik makanan ringan dan yakin mereka sudah termakan keropok dicampur racun tikus itu yang sering digunakan penduduk berhampiran bagi memerangkap monyet.
“Berikutan keadaan kritikal, mereka dipindahkan dari Hospital Kulim (HK) ke HPP,” katanya.
Dalam kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah itu, Muhammad Luth Syauqi Abdul Rahman dan Muhammad Akil Syauqi masing-masing berusia dua dan tiga tahun masih tidak sedarkan diri dan di bawah pemantauan doktor.
Katanya, doktor tidak dapat beri harapan terhadap pemulihan anak sulungnya tetapi mereka akan cuba yang terbaik.
“Doktor mengatakan pada masa ini, mereka tidak dapat lakukan rawatan pada buah pinggang Muhammad Akil Syauqi berikutan keadaannya yang tidak stabil.
“Tekanan darahnya juga rendah dan jika rawatan dibuat, keadaan buah pinggangnya bertambah ‘teruk’,’ katanya ketika ditemui di perkarangan HPP, hari ini.
Mengenai perkembangan Muhammad Luth Syauqi pula, Nurain berkata, anak keduanya itu masih dalam keadaan koma.
“Dia sudah menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) hari ini dan masih koma.
“Pada masa ini fikiran saya masih buntu, namun saya mohon supaya orang ramai supaya mendoakan kesembuhan kedua-duanya,” katanya yang juga operator kilang.
Turut kelihatan di perkarangan HPP adalah sanak saudara mangsa yang menemani Nuraini.
Dua kanak-kanak terbabit dilaporkan kritikal selepas termakan keropok mengandungi racun tikus, semalam.
Hasil siasatan polis mendapati, dua beradik itu dipercayai mengambil paket keropok segera yang tergantung di dawai besi pagar mengandungi racun tujuan bagi perangkap monyet.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa