comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Saya menangis sebab dia sudi maafkan isteri’

Suami kepada wanita yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan tiga pelajar UiTM.

DUNGUN: “Saya menangis kerana Muhammad Ammar Danish sanggup memaafkan isteri yang melanggar dia dan tiga rakannya yang maut dalam kemalangan pada malam Rabu lalu. Saya tahu ujian ini amat berat, tetapi dia tetap memaafkan.”

Demikian kata Azhar Ahmad, suami kepada pemandu wanita yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan tiga penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun.

Dalam kejadian pada jam 7.20 malam itu, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, menjadi satu-satunya mangsa yang cedera dan selamat, manakala tiga rakannya, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20; dan Khairil Anwar Jamaludin, 20; maut di lokasi kejadian.

Azhar, 53, berkata, dia kini berasa lega selepas permohonan maafnya diterima Muhammad Ammar Danish dan keluarganya hari ini selepas dia bertemu mereka sebaik penuntut itu dibenarkan keluar dari wad Hospital Dungun, kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

“Dalam keadaan masih sakit akibat kemalangan itu, Muhammad Ammar Danish menerima kemaafan saya sambil berkata tiada siapa mahu perkara sebegitu berlaku .

“Keadaan itu membuatkan saya menangis dan sangat bersyukur kerana dia sudi memaafkan saya dan isteri,” katanya.

Azhar berkata, beliau juga sudah bertemu ibu bapa pelajar itu, Muhammad Ridhuan Mohd Shariff, 52, dan Siti Asiah Abdullah Sani, 48, malam tadi.

“Saya berjumpa mereka dan pasangan suami isteri itu juga sudi memaafkan atas apa yang berlaku. Saya tahu ia bukan perkara yang mudah, tetapi sekurang-kurangnya kesediaan mereka memaafkan meringankan beban saya yang sangat kesal kejadian membabitkan isteri saya itu berlaku.

“Mereka sekeluarga sangat baik dan faham dengan situasi yang berlaku,” katanya.

Azhar berkata, dia juga terharu dengan kesediaan keluarga Allahyarham Ku Adib Aizad dan Khairil memaafkan kesalahan yang berlaku itu.

“Saya bersyukur dan sangat gembira selepas membaca laporan akhbar semalam, mereka menerima permohonan maaf saya itu.

“Saya juga bersedia bertemu dengan semua keluarga mangsa sebaik mereka bersedia menerima kehadiran saya. Saya faham perasaan keluarga kehilangan insan tersayang akibat kejadian malang itu, sampai bila pun saya sanggup menunggu asalkan mereka sudi bertemu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini