Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Saya mahukan keadilan buat arwah isteri – Suami Cikgu Istiqomah

PASIR GUDANG: “Saya hanya mahukan keadilan buat arwah isteri saya yang dibunuh dengan kejam dan tragis,” itu luah Mohd Yusof Mokhtar, 35, suami Allahyarham Istiqomah Ahmad Rozi, 34, yang dibunuh kejam selepas dilaporkan hilang setelah keluar bekerja pada 26 Disember lalu.

Mohd Yusof berkata, hukuman keras harus dikenakan ke atas suspek, memandangkan mangsa yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3, dibunuh dengan kejam dan tidak berperikemanusiaan.

“Harapan saya itu, kalau boleh, saya nak hukuman yang setimpal untuk si pelaku kalau boleh hukuman gantung.

“Saya hanya mahukan keadilan untuk isteri saya, dia seorang isteri yang taat dan ibu yang penyayang buat tiga anak kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kota Masai, di sini, hari ini.

Mohd Yusof yang bekerja sebagai juruteknik memaklumkan, tiga anaknya Naura Auni, 9 tahun, Muhammad Naufal Amzar, 6, dan Nayla Aisya, 4, telah dimaklumkan khabar duka mengenai ibu mereka.

“Sejak ibu mereka hilang, anak-anak saya tak banyak bercakap. Anak sulung saya pun seakan-akan faham apa yang terjadi dan dia pun lebih banyak termenung bila bercakap soal kehilangan ibunya,” katanya.

Terdahulu polis mengesahkan mengesahkan mayat tidak lengkap anggota badan ditemui pada 31 Disember lalu adalah milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, berdasarkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan mendapati ia sepadan dengan mangsa yang dilaporkan hilang sejak 27 Disember tahun lalu.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di kampung halamannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubang Badak, Pasir Mas, Kelantan selepas proses bedah siasat selesai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini