SUNGAI PETANI: ”Itulah khidmat terakhir saya untuk arwah umi,” luah Imaduddin Md Noor, 24, yang mengimamkan solat jenazah ibunya Allahyarham Taibah Sulaiman, 61 seperti diinginkan arwah.
Menurut anak keenam daripada lapan beradik itu, pada mulanya dia memberitahu pihak masjid bahawa dia bersedia untuk menjadi imam bagi menguruskan solat jenazah ibunya, tetapi merasakan tak mampu berbuat demikian.
“Namun, saya gagahkan diri untuk tunaikan hasrat umi melihat anaknya menjadi imam solat jenazah, saya kuatkan diri walaupun sebak,” katanya.
Taibah, seorang daripada tiga ahli Dewan Muslimat PAS yang maut selepas kenderaan Toyota Fortuner dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 390 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat Behrang, Perak, semalam.
“Umi pernah cakap, umi hantar anak-anak belajar agama dan bila solat jenazah nanti nak hampa (anak lelaki) jadi imam, sekarang saya dah tunaikan,” katanya.
Menurut Imaduddin, Rabu lalu, dia menghantar ibunya di Stesen Bas Sungai Petani untuk menaiki bas bersama rombongan ke Muktamar Tahunan PAS di Shah Alam, Selangor.
“Sewaktu dalam perjalanan, kami berbual mengenai mati syahid dan pergolakan yang berlaku di Palestin.. umi kata lelaki boleh pi berperang, tapi perempuan susah.
“Umi suka membantu orang… selalu cerita mengenai kematian orang yang baik-baik malah umi selalu impikan mati syahid… saya sedih tapi saya syukur, umi meninggal ketika mahu membantu orang lain… umi dah dapat apa umi nak,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Wang, di sini, hari ini.
Imaduddin memberitahu apabila menerima berita kemalangan melalui WhatsApp keluarga, dia pada mulanya menyangka ibunya hanya cedera dan mereka bersiap untuk melihatnya di Hospital Slim River, Perak.
Namun katanya, tidak lama kemudian adiknya memberitahu yang ibu mereka sudah meninggal dunia dan reda dengan apa yang berlaku.
Dalam kejadian jam 2 petang semalam, tiga wakil Dewan Muslimat PAS iaitu Penolong Setiausaha 1 Dewan Muslimat PAS Sungai Petani, Nurul Najihah Amzi, 27, serta dua lagi pimpinan, Ketua Ameerah Pas Sungai Petani, Fatihah Nabila Bukri, 23, dan Taibah selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Sungai Petani, dirempuh Toyota Altis ketika ketiga-tiga mangsa menghentikan Toyota Fortuner dinaiki mereka di bahu jalan.
Kejadian berlaku ketika mereka hendak membantu seorang pemandu lelaki trak pikap yang terbabas dan terbalik di longkang di kiri jalan.
Akibat kemalangan itu, Fatihah Nabila dan Taibah disahkan maut di tempat kejadian, manakala Nurul Najihah meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Slim River, petang semalam.
Jenazah Fatihah Nabila dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Berangan, Kota Kuala Muda manakala Nurul Najihah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al Irfan, Derga di Alor Setar hari ini.