KUANTAN: Hukuman melakukan kerja khidmat masyarakat selama 120 jam memberi keinsafan buat dua remaja yang sebelum ini aktif dalam aktiviti lumba motosikal secara haram di daerah ini.
Dikenali sebagai Izam, remaja berusia 19 tahun itu dicekup pihak berkuasa dalam satu operasi khas banteras lumba haram tahun lalu.
Bagaimanapun kerana dia di bawah umur ketika melakukan kesalahan itu, mahkamah memerintahkannya melakukan khidmat masyarakat selama 120 jam di bawah seliaan Bahagian Perintah Khidmat Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang.
Menurut Izam, dia tidak pernah memikirkan mengenai keselamatan diri sendiri ketika berlumba walaupun sebelum itu telah terbabit dengan kemalangan yang menyebabkan tangan dan kakinya patah, selama sebulan menerima rawatan di hospital.
Katanya, aktiviti lumba haram bersama beberapa rakan tidak lebih hanya seronok bagi memenuhi masa terluang pada hujung minggu selain terpengaruh dengan rakan.
“Bukan ada hadiah lumayan yang dikejarkan sebaliknya lebih kepada untuk mendapat kepuasan sebagai pelumba apabila dinobatkan sebagai juara seterusnya mendapat sanjungan rakan.
“Ketika berada di atas jalan pelbagai aksi merbahaya dipamerkan, antaranya meniarap di atas motosikal ala ‘superman’, zig-zag dan whellie (mengangkat tayar hadapan).
“Takut tidak pernah ada dalam kamus saya sebagai Mat Rempit, memandu motosikal yang diubah suai dengan laju bukan sahaja membahayakan kepada diri sendiri malah pengguna jalan raya lain,” katanya.
Beliau ditemui selepas melapor diri untuk melakukan kerja khidmat masyarakat di Pejabat Kebajikan Daerah Kuantan, di sini semalam.
Izam berkata, episod ditangkap akhir tahun lalu apabila polis mengesan dia sedang melakukan aksi ‘superman’ ketika berlumba, polis yang menggunakan kenderaan persendirian mengejar sejauh beberapa meter sebelum menahannya.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman kerja khidmat masyarakat selama 120 jam dan kini berbaki 50 jam, saya kini insaf dan berjanji tidak akan terbabit lagi dengan aktiviti lumba haram.
“Kemahiran membaiki dan mengubah suai motosikal tidak akan digunakan untuk berlumba, hukuman dikenakan dan kemalangan yang hampir meragut nyawa menjadi pengajaran berguna buat saya,” katanya yang dilahirkan kembar.
Bagi Arfan, 20 (bukan nama sebenar) dia dikenakan hukuman kerja khidmat masyarakat selama 120 jam selepas terbabit dengan lumba haram awal tahun ini.
“Saya mula terbabit dengan lumba haram ketika berumur 14 tahun, aktiviti berkenaan lebih kepada suka-suka pada waktu malam setiap minggu. Bukan ada hadiah ditawarkan pada pemenang.
“Saya berjanji tidak akan terbabit lagi dengan aktiviti lumba haram, cukuplah sekali polis menangkap saya dan mahkamah menjatuhkan hukuman kerja khidmat masyarakat,” katanya yang sebelum ini belajar di sekolah agama di negeri ini.
Beliau berkata, nasihat kepada remaja supaya tidak terbabit dengan aktiviti merempit kerana tidak berfaedah selain membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.