Tumpuan :
Nasional

‘Saya hilang sahabat seperjuangan’ – Tun Mahathir

Tun Mahathir kelihata sugul sebaik tiba di kediaman Allahyarham Tun Daim di Persiaran Bukit Tunku. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa sedih dan hiba yang tidak terhingga atas pemergian bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin pagi tadi di Hospital Assunta, Petaling Jaya.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, bekas perdana menteri itu berkata, beliau kehilangan seorang sahabat yang bersama-sama berjuang demi agama, bangsa dan negara.

“Berilah tempat kepadanya di akhirat sebagai pejuang bangsa. Saya hanya mampu berdoa, akan kita bersama kembali di masa tertentu, Amin, Ya Rabbal Alamin,” kata bekas perdana menteri itu.

Allahyarham difahamkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 8.21 pagi tadi ketika menerima rawatan di hospital

Difahamkan Allahyarham Tun Daim mengalami strok baru-baru ini dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Jenazah Allahyarham dibawa keluar dari Jabatan Forensik hospital sekitar jam 11.10 pagi untuk dibawa ke kediaman beliau di Persiaran Bukit Tunku dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas asar.

Tun Daim berkhidmat sebagai Menteri Kewangan sebanyak dua kali, iaitu yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.

Allahyarham kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini