Tumpuan :
Nasional

Saya hanya mahu orang Melayu bersatu – Jamal Abdillah

KUALA LUMPUR: Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah, 63, berkata beliau bukan sengaja mahu menimbulkan kekecohan menerusi video dalam aplikasi TikTok yang tular beberapa hari lalu.

Sebaliknya, Jamal berkata, niatnya mahu orang Melayu dalam parti-parti politik bersatu dalam memperkasakan agenda dan mengukuhkan kestabilan politik serta ekonomi negara.

“Saya bukan ahli politik dan tidak terfikir menyertai dunia politik. Apa yang saya lakukan untuk menimbulkan kesedaran agar kita bersatu dan tidak berpecah-belah. Sebagai rakyat biasa, saya mahu melihat parti-parti Melayu bersatu dalam pembangunan negara dan ekonomi.

“Kita tahu, parti Melayu seperti PAS, BERSATU, Parti Amanah Negara (Amanah), PKR dan lain-lain berasal daripada satu bumbung iaitu UMNO.

“Jadi, kenapa orang-orang Melayu tidak bersatu dalam menangani pelbagai isu negara,” katanya kepada BH.

Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Mohd Ali berkata, dia faham soal kuasa, kedudukan dan kerusi jadi keutamaan parti politik.

“Kita tahu peranan mereka memenangkan parti politik masing-masing. Namun, senario politik hari ini perlu menyedarkan rakyat Malaysia.

“Mungkin apa yang saya nyatakan sukar jadi kenyataan, tetapi saya ingin melihat parti-parti Melayu sepakat. Kita sudah banyak ketinggalan dari segi ekonomi dan pelajaran. Jadi, seruan saya marilah bersatu, tidak kira parti BN, PAS, BERSATU, PKR, AMANAH dan lain-lain.

“Asal kita adalah satu, jadi kenapa perlu berpecah kepada tujuh parti? Sebagai rakyat biasa, saya mahu melihat Malaysia maju, aman dan berdaya saing,” ujarnya.

Bagi penyanyi lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu, tiada guna orang Melayu bercakaran sesama sendiri dan menuding jari, apatah lagi pada musim Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

“Kita boleh lihat peperangan dari banyak segi dalam paparan media. Ini membuatkan rakyat letih melihatnya.

“Jadi, kita perlu memikirkan bagaimana boleh bersatu bersama. Apa yang lebih penting dan perkara ini juga selalu dilupakan adalah ikutlah kepimpinan Rasulullah SAW.

“Itu cara paling tepat kerana tiada yang boleh menggugat sekiranya mengikut kepimpinan Nabi Muhammad,” katanya.

Juara Bintang RTM pada 1979 itu menafikan, dirinya bersikap rasis.

“Saya bukan bersikap rasis. Saya sedar, bangsa Melayu, Cina dan India bersama-sama membangunkan negara dan ekonomi pada awal 1930-an dan 1940-an.

“Saya faham Malaysia dimajukan bersama kaum lain seperti kaum India di estet, Cina di bahagian ekonomi dan orang Melayu menerokai dunia pertanian.

“Kesedaran ini menunjukkan saya bukan bersikap rasis. Jujurnya, ada pemimpin daripada parti dan bangsa lain yang saya kagumi.

“Saya menghormati cara mereka bekerja dan melaksanakan pembangunan negara,” ujarnya.

Jadi, katanya, kaum Melayu, India dan Cina perlu bersatu dalam membangunkan semula ekonomi negara selepas berdepan kegetiran pandemik COVID-19.

“Tak kira Melayu, India dan Cina perlu bersama membangunkan negara dengan peranan masing-masing.

“Bagaimanapun, kestabilan politik juga tidak boleh diketepikan,” katanya.

Semalam, Jamal mohon maaf kepada rakyat Malaysia dan parti DAP berhubung video aplikasi TikTok yang tular.

“Kepada peminat dan rakyat Malaysia yang mengikuti video TikTok, saya sebenarnya mendengar pandangan mengenai isu yang saya sebutkan.

“Dengan rasa rendah diri, saya mohon ampun dan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Ini kerana saya ‘spin’ perkara ini dalam keadaan saya tidak mengetahui. Sebagai rakyat Malaysia, saya tidak mahu perkara seumpama ini berlaku.

“Kepada DAP khususnya, saya mohon maaf atas kesilapan dilakukan,” katanya dalam video berdurasi 2.20 minit di Twitter. – BERITA HARIAN

 

Loading...
Terkini