KUANTAN: “Saya hanya ingat Allah dan sentiasa berdoa semoga saya diselamatkan. Lapan jam terapung di laut, bergantung pada tong minyak detik yang lalui selepas bot dinaiki karam dipukul ribut,” kata nelayan, Sabudin Panoh.
Dalam kejadian malam Khamis lalu, bot yang dinaiki tiga nelayan warga Thailand karam selepas dipukul ribut dan angin kencang kira-kira 30 batu nautika di perairan Kuala Pahang, Pekan.
Dalam kejadian itu, mangsa Sabudin, 50, dan Muhamad Hafizi Awang Kecil, 30 selamat selepas masing-masing berpaut pada tong minyak sebelum diselamatkan bot nelayan.
Seorang lagi mangsa yang juga tekong bot, Mat Riffin Awang Kecik, 66, masih belum ditemui.
Menurut Sabudin, ketika berada di perairan Kuala Pahang kira-kira 12 malam keadaan cuaca sudah mula mendung, sejam kemudian mula berlaku angin kencang dan laut bergelora.
Angin bertiup kencang membawa bersama air laut.
Katanya, kawasan berkenaan dikatakan menjadi laluan dua angin dari arah berlainan.
Dua kali ombak besar muncul dan memukul bot dari sebelah tepi bot hingga menyebabkan bot mereka karam.
“Kejadian berlaku begitu pantas, sebelum bot kami karam saya mendengar Mat Riffin melaungkan takbir Allah, selepas itu kami terpisah dibawa arus air laut. Ribut bersama hujan lebat berlaku kira-kira 30 minit,” katanya, ditemui di jeti nelayan Kampung Peramu, di sini hari ini.
Tambahnya, ketika kejadian Mat Riffin berada di anjungan bot dan beliau tidak pasti sama rakannya itu telah terjun ke laut atau terperangkap dalam bot yang karam.
Sabudin yang berasal dari Kampung Penarik, Thailand berkata umurnya masih panjang apabila bertemu dengan bot nelayan bersama lapan awak-awak warga Vietnam selepas lapan jam terapung di laut kira-kira 14 batu nautika dari lokasi kejadian.
Sabudin menambah, dalam keadaan lemah dia terpaksa memanjat bot nelayan berkenaan pada 9 pagi menggunakan tali sauh bot terbabit yang berlabuh dan semua nelayan sedang tidur selepas penat menangkap sotong pada sebelah malam.
Tambahnya lagi, nelayan warga Vietnam terbabit menyediakan roti dan susu selain memberi seluar kerana seluar yang dipakai sebelum itu tercabut ketika berada dalam laut.
Selepas sejam berada di atas bot itu dia melihat Muhamad Hafizi berada di tengah laut sebelum usaha menyelamatnya dilakukan.
“Disebabkan tidak dapat berkomunikasi dengan nelayan Vietnam saya dan Muhamad Hafizi terpaksa berada bersama nelayan Vietnam selama dua hari di perairan Pulau Tioman, sebelum diselamatkan rakan dari sini yang datang mencari selepas mendapat maklumat daripada alat perhubungan yang digunakan kebanyakan nelayan tempatan dan antarabangsa.
Saya bersyukur pada Allah yang memberi peluang kedua kepada saya untuk hidup, terima kasih juga pada nelayan Vietnam yang selamatkan saya dan Muhamad Hafizi,” katanya yang tidak akan meninggalkan kerja sebagai nelayan.
Tambahnya, kejadian itu adalah ujian terbesar pernah diharunginya selepas empat bulan bekerja sebagai nelayan.
Beliau turut memaklumkan akan pulang ke kampungnya Jumaat ini untuk bertemu keluarga.
Bagi Muhamad Hafizi, sepanjang lapan jam berada di laut, dia berdoa semoga Allah selamatkannya, selain berharap tidak muncul ikan jerung yang boleh menyebabkan kecederaan padanya.
“Saya hanya pakai seluar sahaja, ketika bot karam kerana tidak sempat memakai baju. Serangan ikan pemangsa boleh berlaku kerana kedudukan saya di kawasan laut dalam yang dihuni pelbagai spesies ikan ganas, katanya.