Tumpuan :
Nasional

“Saya dijemput oleh kariah masjid untuk ulas sedikit mengenai isu Kumpulan The 1975” – Fahmi

SHAH ALAM: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menjelaskan, ucapannya dalam sebuah masjid di Kuang, Rawang semalam, hanya berkisar mengenai isu kumpulan The 1975 tanpa menyentuh hal politik atau berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN).

Fahmi dalam penjelasan dikongsi menerusi Facebook, memaklumkan beliau singgah ke masjid berkenaan untuk solat Zuhur berikutan kedudukannya yang paling dekat dengan lokasi program yang perlu dihadirinya.

“Alang-alang di situ, saya dijemput oleh kariah masjid untuk ulas sedikit mengenai isu kumpulan The 1975. Tiada langsung sentuh isu lain. Jemaah dalam masjid boleh jadi saksi kejadian untuk sahkan.

“Saya ucap terima kasih pada Syafiq Naqman (saksi kejadian) yang muat naik video penerangan yang diberikan oleh saya untuk membidas fitnah.

“Malangnya, ia sudah dipadam yang dimaksudkan dengan niat untuk teruskan persepsi jahat dan fitnah terhadap saya. Semoga Allah SWT sentiasa melindungi kita dari fitnah dan pemfitnah ini,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menjalankan siasatan berhubung gambar tular berkenaan.

Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya ada menerima aduan berhubung perkara terbabit.

“Siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki menghina pihak berkuasa agama.

Beliau mengingatkan dan menegaskan kepada semua calon dan parti bertanding supaya berhati-hati ketika berada di dalam dan kawasan masjid atau surau.

“Ia bagi mengelakkan sebarang perlakuan yang boleh membawa kepada perbuatan yang melanggar titah Sultan Selangor dan ketetapan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Loading...
Terkini