Oleh Aslina Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Jelajah Saya Digital dibawah program Kementerian Komunikasi dan Digital akan menjelajah 30 kawasan di seluruh negara dengan sehingga 800 penyertaan terdiri daripada golongan muda berpendapatan B-40.
Program itu membuktikan kerajaan komited terhadap usaha meningkatkan pendapatan generasi muda menerusi ekonomi gig di luar bandar.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, program yang dikendalikan Perbadanan Ekonomi Digital (MDEC) sejak dua tahun lalu itu telah mengembara ke 36 lokasi seluruh negara membabitkan 13,000 pendaftaran.
“Kita juga melibatkan beberapa agensi bagi membantu mereka yang berminat mengembangkan perniagaan.
“Kita tahu bila nak mengembangkan perniagaan pasti ada risikonya. Jadi agensi yang terlibat ini akan memenuhi fungsi pelbagai aspek untuk membantu usahawan melalui dunia digital,”katanya yang ditemui media selepas majlis perasmian Saya Digital @ Lembah Pantai, di sini, hari ini.
Bagi peserta, Aloya Surata Mohamed Anwar berkata, pendedahan menerusi latihan seperti eUsahawan, eRezeki dan Global Online Workforce, GLOW, amat membantu.
“Melalui program ini ia sekaligus dapat meningkatkan pendapatan saya sebagai peniaga muda.
“Malah melalui bimbingan MDEC juga saya boleh belajar cara mempromosi jualan saya di platform digital dengan lebih berkesan,”katanya.