SHAH ALAM: Seorang kakitangan Pengurusan Air Selangor yang mahu dikenali sebagai Ihsan, 37, terdengar jeritan “Allahuakbar” daripada penunggang motosikal yang terlibat dalam nahas pesawat berhampiran kawasan perumahan Elmina di Seksyen U16, di sini petang tadi.
Ihsan berkata, ketika kejadian dia sedang membaca meter air berhampiran lokasi terbabit dan menunggang motosikalnya menuju ke Persiaran Elmina untuk membaca meter di lokasi seterusnya, namun tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat di belakangnya.
“Saya menoleh dan melihat asap dan terus berpatah balik.
“Saya dengar jeritan Allahuakbar beberapa kali daripada penunggang motosikal yang terbakar itu yang sempat bergerak sedikit namun kami semua tidak dapat berbuat apa-apa kerana api terlalu marak,” katanya kepada Harian Metro.
Ihsan berkata, dia turut melihat seorang mangsa dari pesawat di luar dalam keadaan rentung.
Pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu dalam perjalanan dari Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang ketika terhempas.
Punca sebanar nahas masih dalam siasatan.
Nahas mengorbankan kesemua 8 orang di dalam pesawat terbabit, termasuk dua orang awam.