comscore
Tumpuan :
Nasional

“Saya dapat rasakan sesuatu kerana arwah tak banyak cakap”

Rosima Dollah, 31, menunjukkan gambar rakan baiknya, Munira Abu Bakar, 31, yang maut akibat ditikam suami di Jalan Padang Nyu, Arau, Perlis – FOTO: NSTP

ALOR SETAR: “Kali terakhir saya berbual dengan arwah melalui telefon semalam dan nampak perangainya tidak seperti selalu malah tidak ceria seperti biasa. “Nada suaranya juga agak sedih,” kata Rosima Dollah, 31.

Rosima adalah rakan baik jururawat, Munira Abu Bakar, 31, yang maut akibat ditikam suaminya di Jalan Padang Nyu, Arau, Perlis, hari ini.

Menurutnya, mereka sepatutnya bertemu semalam tetapi tidak sempat disebabkan arwah bekerja dan hanya berbual melalui telefon.

“Saya dapat rasakan sesuatu kerana arwah tak banyak cakap, tidak macam sebelum ini.

“Saya juga nak jumpa dengan arwah, tetapi dia kata sibuk kerana kerja. Pagi tadi saya terkejut mendapat berita kematiannya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Rosima berkata, dia terkejut apabila menerima khabar bahawa rakan baik yang dikenalinya selama 18 tahun sudah meninggal dunia dipercayai akibat dibunuh suaminya angkara cemburu.

Menurutnya, sebelum ini dia hanya mendengar mengenai kes pembunuhan seumpama itu, namun tidak menyangka kejadian terbabit akan menimpa rakan baiknya.

“Selalu saya baca kes orang lain tapi ini babitkan kawan sendiri dan saya tahu mengenai kes ini melalui rakannya di bilik bedah di hospital sama.

“Saya terus ke rumah dia (mangsa)  untuk melihat apa yang berlaku,” katanya.

Katanya, dia dan seorang lagi rakan mereka digelar Along berkawan baik dengan mangsa sejak belajar bersama di tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Puan Muda Tengku Fauziah, Kangar, Perlis.

Rosima berkata, arwah yang juga rakan baiknya dipanggil Angah itu pula seorang yang lemah lembut dan baik, malah sering menasihatkan dirinya.

Media sebelum ini melaporkan seorang jururawat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar maut ditikam suaminya.

Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, mayat wanita berkenaan ditemukan di bilik tidur dalam keadaan berlumuran darah dan ditutupi dengan selimut tebal, selepas suspek tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis pada kira-kira 10 pagi.

| ARTIKEL BERKAITAN

 

Loading...
Terkini