Oleh Safwan Sawi
KOTA KINABALU: ‘Bukan mahu jadi Ketua Menteri’, kata Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengulas dakwaan situasi kemelut politik Sabah ketika ini.
Jelasnya apa yang menjadi keutamaan adalah urus tadbir keadaan negara ketika ini dan perlu mengikut perundangan dan perlembagaan sedia ada.
“Saya bukan nak jadi Ketua Menteri, gila nak jadi? Bukan gila nak jadi jawatan-jawatan pun, daripada dulu pun dah ditawarkan menjadi Timbalan Perdana Menteri pun, masa Mahiaddin masa Ismail Sabri bukan itu menjadi tuntutan kita.
” Yang perkara yang penting kepada kita mengurus tadbir keadaan negara ini tetapi pematuhan undang-undang itu perlu,” katanya kepada media selepas menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko di di kediamannya hari ini.
Shafie dalam sidang media itu mengulangi pendiriannya yang mempertikaikan kedudukan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerusi Perkara 6(3) yang dibaca dengan Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah, menyatakan Ketua Menteri hendaklah daripada ketua parti yang mendapat majoriti bilangan kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 pada 2020.
Ditanya media sama ada beliau akan membawa perkara itu ke Mahkamah seperti yang disaran Hajiji semalam, jawab Shafie tidak perlu, kerana bukan soal jumlah sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau memenuhi nafsu untuk mendapat jawatan.
“Sebenarnya tidak perlu, dari dulu masa saya menang Pilihan Raya sepatutnya mengikut perlembagaan parti yang mendapat majoriti ialah warisan kita ada 32 dan warisan sendiri ada 29 bertanding tapi tapi dari 29 menurun sampai 19”
“Tidak perlu nombor ini bukan soal nombor, kalau dia ada nombor kita pun ada nombor tak payah cerita pasal nombor, nombor yang dia dapat nombor orang Warisan nombor orang UMNO semuanya tu bernonbor yang kita tak boleh cerita nombor,
“Dulu masa saya Ketua Menteri kita bawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN), undi percaya 2/3 saya menang datang yang lain dia beli orang saya terpaksa bubar dewan,” katanya.
Shafie juga berharap agar Akta Anti Lompat Parti seperti yang dikuatkuasakan di peringkat Dewan Rakyat juga perlu dilaksanakan di DUN Sabah bagi mengekang ADUN yang lompat parti.
Ditanya mengenai jumlah sokongan atau akuan bersumpah (SD) yang sudah diperolehinya, beliau mempunyai jumlah itu namun enggan mendedahkannya kerana tiada keperluan bagi tujuan itu buat masa ini.
Ditanya mengenai rundingan antara Warisan dan Barisan Nasional (BN) Sabah pula, Shafie hanya menjawab ringkas rundingan itu hanya dakwaan pihak tertentu.
Dalam sidang media itu Shafie turut mempertikaikan kedudukan beberapa jawatan di dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mengelirukan antaranya membabitkan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang mempunyai dua jawatan dalam dua parti berasingan iaitu sebagai Timbalan Pengerusi GRS dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS).
Datuk Seri Shafie akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini bagi merungkai kemelut situasi politik Sabah ketika ini namun beliau enggan mendedahkan lokasi pertemuan itu.
“Kita tunggulah dia datang apa yang dia nakkan kalau kita dengan apa yang disebutkan cuba untuk melihat keadaan bagaimana merungkai senario politik ini saya pun dah buat kenyataan lain-lain juga dah buat,
“Saya ingat bukan dari segi apa yang penting bagi kita melihat supaya ada kestabilan keadaan yang ada di samping itu kita nakkan penyatuannya dapat kita realisasikan, kita ada pematuhan perlembagaan yang ada ini menjadi keutamaan kita. Hormati undang-undang,” katanya.