comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Saya berjanji galas tanggungjawab besar’ – Mohd Azmawi

KOTA BHARU: Calon UMNO yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, berjanji akan menggalas tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh parti dengan sebaik mungkin.

Mohd Azmawi yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan dan Gua Musang berkata, walaupun pertama kali bakal berentap di PRK dan disifatkan sebagai tugas berat, namun beliau bersedia mengambil cabaran berkenaan.

“Sejujurnya saya akui terkejut apabila dipilih sebagai calon BN untuk PRK Nenggiri. Saya hanya dimaklumkan oleh pimpinan parti negeri beberapa jam sebelum pengumuman dibuat hari ini.

“Saya akan turun ke gelanggang PRK Nenggiri dengan kekalahan 810 undi dan saya berikrar akan bekerja kuat bagi mengembalikan semula kerusi berkenaan.

“Memang tanggungjawab yang diberikan ini bukan tugas yang mudah, namun saya akan melakukan yang terbaik dan akan bekerja kuat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, UMNO Kelantan mengumumkan Mohd Azmawi Fikri sebagai calon pada PRK Nenggiri bulan depan.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Katanya, pemilihan Mohd Azmawi berusia 38 tahun diputuskan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan mendapat sokongan daripada kepimpinan UMNO Gua Musang dan akar umbi.

Mengulas lanjut, Mohd Azmawi berkata, nekadnya adalah mahu menjadikan Nenggiri ke arah yang lebih baik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini