comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Saya berdoa supaya dapat melihat jasad anak buat kali terakhir, Alhamdulillah dipermudahkan’

SUNGAI BULOH: “Doa saya di Jeddah dimakbulkan selepas tercapai hasrat untuk melihat jasad anak,” kata Ku Azmi Saad, 47 ketika ditemui selepas pengebumian anaknya, Ku Adib Aizad, 20, yang meninggal dunia akibat terbabit kemalangan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun semalam.

Ku Azmi bersama isterinya, Penolong Pengarang Berita BH, Hafizah Iszahanid, 48, tiba dari Jeddah petang tadi selepas membatalkan umrah mereka minggu ini.

Mereka baru saja berangkat ke tanah suci bagi mengerjakan Umrah semalam sebelum dimaklumkan mengenai berita kematian Ku Adib Aizad oleh pihak UiTM.

Dilaporkan ketika kemalangan berlaku, Hafizah bersama Ku Azmi yang juga kakitangan Print Tower Sdn Bhd (PTSB), syarikat di bawah The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), dalam penerbangan ke Makkah untuk menunaikan umrah menerusi Program Umrah dan Ziarah 2024, Media Prima Bhd membabitkan 127 peserta daripada kalangan petugas dan ahli keluarga.

Ku Azmi berkata, dia dan isteri sempat bermiqat, namun tidak dapat menunaikan umrah apabila menerima perkhabaran duka itu pada 9.13 malam (waktu tempatan di Jeddah).

“Ketika itu, saya berdoa supaya dapat melihat jasad anak buat kali terakhir… di depan mata saya. Alhamdulillah kami dipermudahkan kerana dapat penerbangan pulang pada 1.55 tengah hari dari Jeddah.

“Arwah seorang anak yang sangat baik dan sering membantu rakan lain. Jika di rumah dia rajin membaca al-Quran, kini saya kehilangan satu-satunya anak lelaki,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam ‘Aliyah di Saujana Utama, di sini, tadi.

Menurutnya, mereka sekeluarga masih belum menerima sebarang maklumat tepat berhubung kejadian yang menimpa anak sulung daripada empat beradik itu.

“Setakat ini saya tidak menerima sebarang maklumat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kejadian sebenar yang berlaku.

“Kami sekeluarga menunggu terlebih dahulu tindakan pihak berkuasa sebelum memutuskan tindakan lanjut,” katanya.

Ku Adib Aizad meninggal dunia selepas motosikal ditunggangi bersama rakan dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV di UiTM Dungun 7.20 malam semalam.

Turut maut dalam kemalangan itu ialah Khairil Anwar Jamaludin dan Muhammad Akmal Md Tukirin.

Seorang lagi rakan mereka, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan parah dan kini dilaporkan stabil di Hospital Dungun.

Susulan kejadian itu, wanita dipercayai pesakit mental yang merempuh dua motosikal sehingga menyebabkan kematian tiga penuntut UiTM itu direman empat hari.

Wanita itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini