comscore
Tumpuan :
Nasional

Sawah Tenggelam Banjir Dapat Pampasan

TANJUNG KARANG: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memohon peruntukan tambahan bagi Tabung Bencana Tanaman Padi, sekiranya banjir besar melanda negara pada November ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata kementerian itu membelanjakan bantuan berjumlah RM19.8 juta di seluruh negara.

“Jumlah itu melebihi peruntukan RM10 juta yang disediakan MAFI pada setiap tahun.

“Jika banjir berskala besar berlaku kelak, MAFI perlu memohon bantuan Kementerian Kewangan untuk menambah peruntukan tabung itu.

“Langkah itu perlu sebagai kesiapsiagaan bagi membantu pesawah yang terjejas dan mengalami kerugian,” katanya hari ini.

Terdahulu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Jasin merasmikan Seminar Peningkatan Hasil Bagi Petani IADA Barat Laut Selangor di Dewan Institut Pengurusan Peladang di sini.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Datuk Shamsudin Lias.

Ahmad berkata, tabung itu meliputi bantuan RM800 bagi setiap 0.4 hektar tanaman padi. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini