comscore
Tumpuan :
Nasional

Saudi Aramco pilih Malaysia sebagai hub pelaburan baharu

 

KUALA TERENGGANU: Malaysia akan menjadi hub pelaburan penting apabila syarikat minyak dan gas terbesar di dunia, Saudi Aramco akan melabur di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mesyuarat lembaga bersabit perkara itu akan diadakan pada tahun depan yang akan dikendalikan oleh Petronas.

Syarikat itu mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah pusat gerakan mereka di rantau Asia.

“Dan saya difahamkan walaupun tidak untuk diumum sekarang, mesyuarat Lembaga Aramco seluruh lembaga, Lembaga Petronas itu ada 3 menteri di dalamnya, mesyuarat Lembaga Aramco itu akan diadakan di Malaysia dan disambut oleh Petronas tahun depan Insya-Allah.

“Ini maknanya satu cabaran kepada kita pengurusan Petronas di semua peringkat bagaimana nak pertahankan intergriti, bagaimana nak cari hala tuju yang baharu”, kata Anwar.

Tambah beliau, keyakinan Arab Saudi untuk melabur di negara ini adalah kerana Petronas adalah sebuah syarikat yang berintegriti tinggi.

Beliau menyeru agar Petronas mengekalkan prestasi cemerlang untuk menarik lebih banyak pelabur pada masa akan datang.

Sebelum ini dilaporkan Saudi Aramco akan beroperasi di Pengerang Johor, dan Kemaman tetapi masih belum dimuktamadkan.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap di majlis sesi ramah mesra warga Petronas di Kompleks Petronas Pantai Timur, Kerteh, yang dihadiri 600 kakitangan.

Loading...
Terkini