JOHOR BAHRU: Gangguan bekalan elektrik di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dekat Tambak Johor malam semalam berpunca daripada salah satu set janakuasa gagal berfungsi ketika kerja penyelenggaraan dilakukan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, situasi itu menyebabkan berlaku kekecohan di bangunan berkenaan.
Jelas beliau, set janakuasa yang tidak dapat beroperasi daripada tujuh set sedia ada itu sepatutnya membekalkan tenaga elektrik ke dewan pejalan kaki.
“Bangunan Sultan Iskandar Ini hanya mendapat supply 33KV dari PPU Gerbang Perdana buat masa ni disebabkan perkara ni tak asing bangunan ni sendiri mempunyai tujuh genset sediakan jadi sepatutnya ok.
“Tapi malangnya macam saya sebutkan tadi dalam usaha kita nak power up satu genset dia berlaku kerosakan mungkin salah satu sebabnya kita jarang guna sebab itu kita minta JKR nilai semula SOP tengok ujian rintis selepas ini kita nak buat untuk genset,” katanya kepada media di pejabatnya di Kota Iskandar di sini hari.
Jelas Mohamad Fazli, pihak TNB juga akan mengkaji bekalan tambahan sumber alternatif untuk bangunan terbabit.
Ia bagi mengelak kebergantungan kepada Pencawang Pembahagian Utama, PPU Gerbang Perdana semata-mata.
Malam tadi, berlaku gangguan bekalan elektrik di CIQ BSI yang menjadi pintu masuk utama negara dari Singapura.
Gangguan lebih 12 jam itu menyebabkan berlaku kesesakan di ruang cap pasport yang terpaksa dilakukan secara manual, selain gelap dan panas.
Kerja penyelenggaraan yang dilakukan TNB menghadapi masalah bermula jam 11 malam semalam sebelum berjaya diselesaikan kira-kira 9.30 pagi tadi.