ALOR SETAR: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun di daerah Kubang Pasu ditutup hari ini menjadikan jumlah mangsa banjir di Kedah menurun kepada 1,384 mangsa daripada 444 keluarga.
Jumlah itu dilaporkan setakat jam 4 petang hari ini berbanding 1,431 orang daripada 459 keluarga yang dilaporkan pada jam 1.30 petang tadi.
Dengan penutupan satu PPS itu, jumlah PPS yang beroperasi setakat ini adalah 10 buah.
Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, PPS yang beroperasi ketika ini iaitu di daerah Kota Setar, Kubang Pasu dan Pokok Sena.
Daerah Pokok Sena mencatatkan seramai 737 mangsa daripada 233 keluarga di lima PPS manakala Kota Setar mencatatkan seramai 411 mangsa daripada 129 keluarga.
Dalam pada itu, daerah Kubang Pasu menempatkan seramai 236 mangsa daripada 82 keluarga.
Dalam pada itu, lima sungai di negeri ini melepasi paras bahaya iaitu Sungai Bata dan Sungai Padang Terap di Kubang Pasu, Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Anak Bukit di Jambatan Lebuhraya di daerah Kota Setar serta satu lagi adalah Sungai Titi Kerbau di Pendang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa