Tumpuan :
Nasional

Satu laporan polis dibuat susulan ugutan terhadap Fadhlina

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. FOTO: Fadhlina Sidek / Facebook

KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik kepada Fadhlina Sidek membuat satu laporan polis hari ini susulan ancaman keselamatan terhadap Menteri Pendidikan itu.

Fadhlina dalam satu hantaran di Facebooknya kemudian turut memuat naik laporan polis itu.

“Sesuatu berlaku hari ini. Ujaran kebencian, tuduhan tidak benar, malah ancaman keselamatan diterima di alam maya. Laporan polis telahpun dibuat, atas faktor keselamatan,” kata Fadhlina dalam hantarannya itu.

Tambah Fadhlina, atas nasihat pasukan peguamnya, semua bukti daripada hantaran, komentar dan mesej peribadi di media sosial sedang dikumpulkan dan tindakan undang-undang akan diambil.

Dalam laporannya itu, pembantu Fadhlina, Atiqah Syairah Shaharuddin berkata dia menerima beberapa keping gambar Fadhlina yang telah disunting dan turut disisipkan dengan kata-kata “perkataan kafir pun saya haramkan di rumah. Saya tak ajar anak saya sebut kafir di rumah-anak sidek-.”

Laporan polis itu dibuat Atiqah Syairah di Kuching, Sarawak.

Menurut Atiqah Syairah, foto itu dikongsi di laman sosial Facebook dan menyebabkan Fadhlina menerima komen negatif daripada netizen.

Tambah Atiqah Syairah, dia bimbang akan keselamatan Fadhlina kerana isu itu berkait 3R (agama, bangsa dan institusi diraja).

Jelasnya, laporan itu dibuat bertujuan supaya pihak polis mengambil tindakan susulan bagi mengelak isu sama berulang pada masa hadapan.

Terdahulu, dalam satu video tular, Fadhlina digambarkan menolak menggunakan perkataan ‘kafir’ dan melarang anak-anaknya daripada menggunakan perkataan itu di rumah.

Penyebaran video itu menyebabkan Fadhlina menerima pelbagai komen negatif daripada netizen termasuk ada yang berbaur ancaman terhadap keselamatannya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini