CYBERJAYA: Selepas serbuan petempatan haram warga asing tanpa izin (PATI) di Nilai Spring, Nilai, Negeri Sembilan yang diserbu pada 1 Februari lalu, malam tadi Jabatan Imigresen bertindak menyerbu satu lagi petempatan haram.
Terbaru, di satu lokasi di daerah ini yang dipercayai dibuka sejak lapan tahun lalu.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, serbuan dibuat pasukannya dengan kekuatan 321 pegawai, dibantu 55 pegawai serta anggota dari agensi lain termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan polis.
Katanya, serbuan kira-kira 12 tengah malam tadi dibuat selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam sebelum melakukan risikan di lokasi terbabit sejak tiga minggu sebelum itu.
“Berdasarkan pemerhatian, kita dapati terdapat kira-kira 100 rumah di kawasan berkenaan yang terletak dalam keadaan berselerak di dalam hutan ini. Hasil pemeriksaan, kami menahan 26 lelaki dan 29 wanita berusia antara 16 hingga 70 tahun warga Indonesia yang mendiami kediaman di kawasan itu.
“Dianggarkan antara 30 hingga 30 warga asing berjaya melarikan diri ke dalam belukar dan jauh ke dalam hutan. Kami memutuskan untuk tidak mengejar mereka atas faktor keselamatan serta keadaan gelap,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, awal pagi tadi.
Khairul Dzaimee berkata, hasil soal siasat awal terhadap warga asing yang ditahan mendapati kebanyakan mereka masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial.
“Ada antara mereka bekerja di kawasan berhampiran sebagai pencuci. Malah, saya juga dimaklumkan bahawa ada antara wanita yang tinggal di sini menjalankan perniagaan menjual kuih, nasi lemak, goreng pisang di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya.
“Makanan itu dihasilkan dalam keadaan kotor, mereka tidak menerima suntikan (tifoid) seperti yang dikehendaki Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.
Beliau berkata, petempatan itu sukar dikesan kerana terletak kira-kira tiga hingga empat kilometer (km) dari jalan utama dan rumah dibina di celah-celah pokok di tepi belukar dalam hutan berkenaan.
“Dari segi bekalan elektrik, petempatan ini guna janakuasa, manakala bekalan air pula dari perigi pada kedalaman antara tiga hingga lima meter yang dibina sendiri. Keadaan tandas serta perparitan juga daif.
“Petempatan itu juga mempunyai kemudahan lain termasuk kedai runcit, surau yang boleh menempatkan antara 30 hingga 40 jemaah dan kedai kopi,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan warga asing di petempatan itu dikenakan sewa RM500 setiap bulan bagi setiap rumah dengan bayaran dikutip oleh ketua sebelum diserahkan kepada pihak tertentu.
“Kami akan mengenal pasti pemilik tanah ini bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil atas kesalahan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Semua warga asing yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.-BERITA HARIAN