Oleh: Fahiz Ariff
KUALA LUMPUR: Pemergian Allahyarham Muhammad Zaman Goh Abdullah atau Raymond Goh merupakan satu kehilangan besar kepada Bilik Berita TV3 serta Jabatan Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB).
Menurut Timbalan Pengarang Kumpulan Jabatan Berita & Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen MPB, Azhari Muhidin, Raymond seorang mentor yang profesional dan berdedikasi kepada semua warga penyiaran.
Artikel berkaitan: Raymond seorang yang pemurah, disenangi rakan sekerja
“Ini adalah satu kehilangan besar kepada Media Prima, walaupun beliau telah selangkah bersara daripada membaca berita tetapi beliau banyak membantu generasi baru atau pelapis untuk mendidik dan mengajar kaedah pembacaan berita, kehilangannya sememangnya cukup dirasai,” kongsinya.
Dalam pada itu, bekas personaliti TV3, Datuk Ras Adiba Radzi turut berkongsi Allahyarham merupakan seorang personaliti yang mempunyai keperibadian yang baik dan disegani orang ramai.
Artikel berkaitan: Allahyarham seorang yang sangat baik – rakan Raymond Goh
“Raymond adalah seorang yang baik hati, meskipun beliau seorang yang serius tapi dalam keseriusan itu dia memang seorang yang ikhlas.
“Apa yang pasti kita akan merindui komen-komen beliau yang positif di media sosial seperti Instagram dan TikTok,” katanya.
Mengulas lanjut, Pengacara Money Matters TV3, Zahir Kelvin Ong Abdullah menambah, kehilangan sahabatnya itu cukup dirasai terutamanya apabila mengenangkan hari pertama dia melapor diri untuk bertugas mengendalikan rancangan ‘Money Matters’ terbitan TV3 itu.
“Saya mengenali Raymond sejak 1992 dan saya meninggalkan TV3 pada 2000, namun sebaik saya kembali semula di TV3 sebagai pengacara separuh masa untuk program ‘Money Matters’, Raymond Goh adalah individu pertama yang saya temui di Sri Pentas.
Artikel berkaitan: Raymond Goh bak permata dalam bidang penyampaian berita – Ras Adiba
“Saya masih ingat, beliau secara berseloroh berkata pada saya yang beliau gembira akan kepulangan saya di sini,” katanya ketika ditemui Buletin TV3.
Jenazah Allahyarham terdahulu dimandi dan disolatkan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail sejurus selesai solat Asar, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di ibu negara, petang tadi.
Turut hadir memberikan penghormatan terakhir, Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.
Sebelum ini, Allahyarham bertarung nyawa di unit rawatan rapi (ICU) akibat diserang angin ahmar.
Sememangnya, suara dan gaya penyampaian berita Allahyarham mempunyai keunikan sendiri dan akan diingati sepanjang zaman.
Artikel berkaitan: Keluarga, kenalan rapat iringi perjalanan akhir Raymond
Semoga Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.