comscore
Tumpuan :
Nasional

Satu jenazah diserah kepada waris esok – KP Selangor

KLANG: Satu jenazah mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat ringan yang terhempas di Elmina, Shah Alam, semalam, akan diserahkan kepada waris, esok.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, identiti mangsa berkenaan hanya akan didedahkan kepada media, esok, selepas pihaknya memaklumkan perkara itu kepada waris.

“Esok pagi ada satu jenazah akan diserah kepada waris.

“Maklumat lanjut kita akan maklumkan esok kerana kita perlu hubungi keluarga dulu sebelum kita dedahkan kepada umum,” katanya kepada media, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, jam 8.30 malam bagi menghadiri mesyuarat sebelum dilihat beredar jam 10 malam.

“Saya datang tadi untuk bermesyuarat dengan pihak berkaitan iaitu Pasukan Patalogi HTAR, Jabatan Kimia Malaysia, Bahagian Cap Jari Bukit Aman dan pakar ontologi (gigi) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ia bagi membincangkan perkara berkaitan mengenal pasti identiti mangsa.

“Kita juga ada menghantar sampel (mangsa) ke Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan proses bedah siasat jenazah mangsa nahas pesawat yang terhempas itu dijangka selesai seawalnya Isnin ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, lebih 200 cebisan mayat dan 22 anggota badan terputus ditemui di lokasi kejadian sudah diserahkan kepada Jabatan Perubatan Forensik HTAR.

Pihak forensik akan membuat bedah siasat terhadap anggota badan, manakala 200 cebisan mayat yang ditemui itu akan dihantar ke Jabatan Kimia.

Loading...
Terkini