Iskandar Puteri: Kerajaan Johor komited untuk memastikan sektor pelancongan negeri ini mencapai tahap yang terbaik dalam Malaysia pada tahun ini.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara itu mungkin tidak mustahil berlaku memandangkan Johor sudah mencapai tahap terbaik dalam sektor pelaburan yang mencatatkan pelaburan tertinggi dalam negara.
“Saya mahu laporkan bahawa Johor pada tahun ini merekodkan nilai pelaburan yang tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak RM60.9 bilion.
“Jika dari segi pelaburannya pun kita berada di tahap nombor satu negara dan Insya-Allah tahun ini kita akan pastikan pelancongan juga nombor satu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Majestic Johor Festival 2022 di Puteri Harbour di sini, malam tadi.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K Raven Kumar dan Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim.
Onn Hafiz berkata, setiap rakyat Johor perlu menjadi duta negeri bagi mengharumkan nama negeri sekali gus mempromosikan kepelbagaian tarikan pelancongan yang ada di negeri ini.
“Negeri Johor ini dikurniakan dengan pelbagai pemandangan yang cukup indah termasuk di enam taman negara dan di hampir 130 pulau-pulau di Mersing.
“Ini bermakna, dari segi warisan juga, Johor mempunyai satu kelebihan yang sangat membanggakan dan ini belum lagi bercakap soal makanan tradisi kita.
“Maka, marilah sama-sama kita menjadi duta-duta negeri untuk mengharumkan nama negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Majestic Johor Festival 2022 yang berlangsung selama 11 hari bermula Khamis lalu sehingga Ahad ini (18 September) menjadi platform pemyampaian informasi tarikan pelancongan di negeri in.
Ia supaya dapat dipromosikan dengan lebih efektif bagi menarik tumpuan pelancong dalam dan luar negara.
Menurut Raven Kumar, festival itu turut dijadikan platform membantu pengusaha pelancongan dan peniaga untuk kembali merancakkan semula ekonomi mereka pada pasca pandemik ini.-HARIAN METRO