comscore
Tumpuan :
Nasional

Sasar peniaga luar bandar celik digital, beroperasi tanpa tunai

Ini adalah sebahagian daripada usaha KPDN untuk mencapai sebanyak 15,000 peniaga berdaftar e-wallet sehingga tahun 2025 menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Dalam usaha memberi pendedahan kepada peniaga luar bandar berhubung pengoperasian perniagaan berkonsepkan digital, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menganjurkan Program Kembara Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI).

KPDN menerusi kenyataan memaklumkan, ia juga adalah satu langkah proaktif kementerian untuk mewujudkan ekosistem masyarakat tanpa tunai di seluruh negara khususnya kawasan luar bandar melalui penggunaan kemudahan e-wallet dalam urusan transaksi pembelian.

“KPDN berharap melalui strategi kembara advokasi ini dapat meyakinkan sekurang-kurangnya 500 peniaga kecil di semua daerah terlibat untuk lebih celik digital dan beralih kepada sistem pembayaran tanpa tunai dalam operasi perniagaan,” menurut kenyataan itu hari ini.

ReDI berlangsung sejak Selasa lalu hingga hari ini bermula dari Putrajaya, Pahang (Raub dan Kuala Lipis), Kelantan (Gua Musang dan Kuala Krai) serta Terengganu (Kuala Besut dan Jerteh), yang telah dirasmikan Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar.

Program yang dianjurkan selama empat hari itu adalah program utama kedua ReDI pada tahun ini yang menerapkan konsep advokasi dan ‘onboarding’ secara berkumpulan selain lebih intensif.

Melalui sokongan Bank Negara Malaysia, inisiatif ReDI berkenaan menawarkan pengurusan kewangan yang efisien, peluang perkembangan perniagaan, kepelbagaian pilihan pembayaran dan pengurusan inventori lebih berkesan yang boleh dimanfaatkan peniaga.

Mengulas lanjut, KPDN berkata, pihaknya menyahut hasrat kerajaan untuk menggalakkan digitalisasi menerusi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang dilancarkan pada 19 Februari 2021 iaitu untuk mempromosikan program ‘onboarding’ pembayaran elektronik bagi peniaga dan pengguna untuk menjadi masyarakat tanpa tunai.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha KPDN untuk mencapai sebanyak 15,000 peniaga berdaftar e-wallet sehingga tahun 2025 menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara berdasarkan Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) di bawah tema Menjana Semula Ekonomi,” menurut kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini