Tumpuan :
Nasional

Sasar 8.2 juta pelancong dalam TMM 2024

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Kerajaan Melaka kini sedang giat melakukan persediaan rapi bagi memastikan sasaran 8.2 juta pelancong pada Tahun Melawat Melaka, (TMM) 2024 tercapai.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, kerajaan negeri menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), kini sedang memperhebatkan semua lokasi pelancongan di seluruh negeri dalam menghadapi kempen promosi berkenaan.

“Tahun ini adalah tahun persiapan sebab tahun depan adalah TMM 2024 dan dalam mesyuarat kerajaan negeri tempoh hari kita akan memperhebatkan lagi kawasan pelancongan untuk menyambut pelancong yang bakal hadir pada tahun depan.

“Jadi segala persiapan rapi saya bagi tempoh selama satu tahun untuk memperkemaskan lagi kawasan pelancongan sedia ada, begitu juga produk pelancongan yang baharu, saya harap dapat diwujudkan dengan kadar segera supaya akan memperlihatkaan lagi tahun hadapan kita ada banyak produk pelancongan menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina peringkat negeri di Machap Umboo, Alor Gajah, di sini malam tadi.

Hadir sama, isteri Ketua Menteri, Datin Seri Utama Munira M. Yusop, Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari; Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem.

Menurut Sulaiman, pihaknya juga telah mengarahkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengenal pasti produk yang boleh dijadikan sebagai tarikan pelancong di kawasan masing-masing.

Ia katanya, termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya yang mempunyai pelbagai produk yang boleh dijadikan tarikan pelancong.

Dalam pada itu, ujarnya, promosi di luar negara turut diperhebatkan sebagai persiapan menghadapi TMM 2024.

Promosi berterusan dan tawaran pelbagai pakej pelancongan menarik itu tambahnya, diyakini mampu membantu kerajaan negeri mencapai sasaran 8.2 juta pelancong pada TMM 2024 itu nanti.

Beliau juga meminta pemain industri pelancongan meningkatkan pelaburan dengan menawarkan lebih banyak produk berkualiti.

Loading...
Terkini