Oleh: Farah Nabilah Wazer
KUALA LUMPUR: Cadangan untuk melaksanakan saringan air kencing sebelum memasuki konsert dianggap tidak praktikal, memandangkan proses keputusan ujian urin memerlukan masa yang panjang, terutamanya jika dilakukan dalam skala besar.
Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez berkata, proses tersebut hanya boleh dilaksanakan sekiranya teknologi terkini digunakan.
“Bayangkan sebuah konsert yang dihadiri 30,000 penonton. Setiap individu perlu beratur untuk menjalani ujian air kencing. Proses ini akan memakan masa, memerlukan tenaga kerja yang besar, dan secara keseluruhan, saya berpendapat ia tidak praktikal,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa insiden tidak diingini semasa konsert lazimnya melibatkan individu baru yang ingin mencuba melakukan perkara tidak senonoh.
Justeru, beliau mencadangkan pendekatan asas dan segera melalui kempen kesedaran, seperti tayangan video impak negatif dadah sebelum acara bermula.
Persatuan itu juga bersedia bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tragedi tidak diingini dapat dielakkan.
Freddie menambah antara cadangan ialah meningkatkan interaksi antara kempen anti-dadah dan konsert, seperti menyertakan slogan ‘Muzik Tanpa Dadah’ pada tiket dan papan iklan.
Sementara itu, pengasas Icon Entertainment dan penganjur konsert, Iman Tang, berkata cadangan tersebut perlu diperhalusi mengikut jenis konsert yang diadakan.
“Tidak adil untuk melaksanakan ujian air kencing bagi semua jenis konsert. Jangan pukul rata,” katanya.
Menyifatkan insiden semasa konsert Pinkfish sebagai titik hitam industri hiburan tanah air, Iman mencadangkan agar pihak bertanggungjawab menyelidik setiap permohonan penganjuran konsert, termasuk genre muzik dan sejarah konsert tersebut.
Semalam, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim, berkata kerajaan Selangor akan mencadangkan ujian air kencing sebagai prosedur wajib bagi pengunjung sebelum menghadiri konsert.
Langkah itu bertujuan mengelakkan penggunaan dadah atau bahan terlarang semasa konsert yang diadakan di negeri tersebut.
Cadangan terbabit akan dibincangkan secara terperinci dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri, esok.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.